Kebakaran Putra Heights: Boleh bersuara tapi beri ruang kepada siasatan

Kebakaran Putra Heights: Boleh bersuara tapi beri ruang kepada siasatan

SAIFUDDIN Nasution Ismail beramah mesra dengan sebahagian tetamu dan anggota polis ketika hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Warga Ibu Pejabat Polis (IPD) Kubang Pasu di Jitra hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak termasuk masyarakat untuk mengutarakan apa-apa pandangan berhubung insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Selasa lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun meminta agar ruang diberikan kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan melibatkan kejadian itu.

“Masyarakat boleh membantu dengan cara tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian yang hari ini bersepah di media sosial. Tiba-tiba sahaja ramai menjadi pakar industri minyak dan gas yang menganalisa sebab musabab bencana daripada pelbagai sudut.

“Mereka boleh berbuat demikian atas nama ruang kebebasan bersuara cuma dalam aspek siasatan berilah kepercayaan kepada polis tanpa kita terlibat untuk menimbulkan ketegangan,” katanya selepas menghadiri Majlis Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Masyarakat di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin, proses mengumpul bukti berkaitan insiden itu memerlukan aspek penelitian yang tinggi dan disiplin siasatan yang baik. 

Katanya, beliau diberi taklimat terkini dari masa ke semasa oleh polis yang sedang melengkapkan siasatan merangkumi semua perkara berkaitan kebakaran itu.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin mengulangi gesaan agar dua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyegerakan proses penggantian dokumen penting yang boleh membantu mangsa untuk pelbagai perkara.

“Saya meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) segera membantu menyediakan dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir, kad pengenalan, sijil perkahwinan atau apa-apa dokumen diberikan penggantian segera tanpa sebarang bayaran. 

“Kedua, arahan saya kepada Jabatan Imigresen juga membuat perkara sama iaitu menggantikan pasport Malaysia yang barangkali hilang dan rosak dalam keadaan mereka tergesa-gesa meninggalkan kediaman masing-masing,” katanya.

Terdahulu, kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Kebakaran saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter yang bermula sekitar pukul 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya