SHAH ALAM: Proses pemulihan di tapak insiden kebakaran paip gas dekat Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di Subang Jaya dimulakan hari ini melibatkan 85 pemilik rumah terjejas dibenarkan pulang selepas kediaman mereka disahkan selamat.
Mereka daripada 305 keluarga itu dibenarkan pulang apabila bekalan elektrik dan air dipulihkan untuk membolehkan mangsa yang berpindah ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) itu kembali ke rumah masing-masing.
Bagaimanapun, daripada keseluruhan binaan terlibat sebanyak 87 buah rumah dan premis mengalami kerosakan sepenuhnya (total loss) iaitu tidak boleh didiami sama sekali sementara 148 lagi masih boleh dibaiki.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, 85 rumah berkenaan disahkan selamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan juga pemilik utiliti-utiliti lain yang akan dimaklumkan oleh jawatankuasa bencana daerah kepada mangsa mulai hari ini.
“Dari semasa ke semasa, kita akan lihat balik setakat hari ini daripada 235 tadi, ada kira-kira 115 yang dianggap selamat oleh JBPM, tetapi bakinya belum dapat bekalan air kecuali 85 tadi. Kita akan beri ruang kepada mereka untuk pulang ke rumah masing-masing untuk dapatkan bekalan serta maklumat berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan mengemaskini data mangsa yang benar-benar terkesan dengan insiden kebakaran tersebut khususnya bagi penduduk di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.
“Untuk maksud tersebut, kita akan memurnikan data tersebut dengan diketuai oleh Unit Bencana Daerah ataupun pegawai daerah selalu ketua unitnya dan bekerjasama dengan JKM, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Petronas dan sebagainya untuk memulakan proses penyampaian sokongan sama ada RM2,500 atau RM5,000 yang diumumkan oleh Perdana Menteri seawal hari Isnin akan datang,” ujarnya.
Jelas Amirudin, KDEB Waste Management (KDEBWM) akan memulakan proses pembersihan dan dibantu oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya serta Unit Sukarelawan Selangor (Serve) serta Team Selangor bagi kerja-kerja tersebut.
“Mulai esok, kita akan gerakkan 100 orang sukarelawan, justeru pada sukarelawan-sukarelawan luar yang ingin membantu, boleh berdaftar dengan Serve dan juga Team Selangor akan mengendali dan menguruskan pasukan itu supaya mereka boleh turun ke lapangan membantu mempermudahkan.
“Kerana kita tahu kawasan tersebut agak terhad dan kita tak mahu ada kesesakan yang tidak dijangkakan dan kesan-kesan lain dan seterusnya akan mengganggu proses siasatan yang sedang giat dilakukan oleh polis dan 19 agensi lain yang memulakan siasatan dari semalam secara rasmi,” tambah Pengerusi Jawatankuasa Bencana Peringkat Selangor.
Selain itu, Amirudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Negeri memaklumkan beliau akan berbincang dengan pelbagai pihak termasuk Petronas esok untuk menentukan bantuan fasa kedua termasuk penempatan sementara sehingga rumah-rumah mangsa dibaik pulih dan sebagainya.
“Esok, saya akan berjumpa dengan pihak terbabit seperti ICU dan Petronas untuk kita melihat fasa kedua bantuan selepas bantuan-bantuan awal diselesaikan iaitu dari segi penempatan sementara.
“Ada beberapa formula yang kita akan bentang dan bincangkan, insya-Allah pada hari Ahad atau Isnin saya akan maklumkan proses tersebut supaya kita dapat melaksanakan sokongan dengan lebih baik di samping menjunjung titah Raja Muda Selangor supaya kita dapat menyediakan penempatan yang lebih selesa,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, mangsa yang masih belum dibenarkan pulang perlu tinggal sehingga seminggu atau 10 hari di PPS sehingga keputusan mengenai penempatan semula diputuskan.
“Di PPS juga bukan hanya tempat tinggal, makanan dan sebagainya, kita turut memberikan sokongan kesihatan mental daripada JKNS dan juga badan-badan berautoriti di samping kita menyediakan kaunter-kaunter yang berkenaan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Amirudin turut mengumumkan pembukaan semula Tabung Prihatin Negeri Selangor bagi memberi ruang kepada orang ramai menghulurkan bantuan kewangan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa terlibat. – UTUSAN