SUBANG JAYA: Pihak berkuasa masih meneruskan kerja-kerja mengeluarkan air bertakung di kawasan kawah yang terbentuk di kawasan letupan ekoran hujan sejak beberapa hari lalu di lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, paras air bertakung meningkat sedikit pagi ini disebabkan hujan malam tadi.
“Ada sedikit peningkatan air yang bertakung di kawasan tersebut tetapi buat masa ini semuanya lancar dan kerja-kerja mengepam sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini
Difahamkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain akan hadir di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights di sini hari ini.
Sementara itu, pihak media terus berkumpul di lokasi kejadian bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung kejadian terbabit.
Setakat pukul 12 tengah hari ini, dilihat kira-kira 20 orang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mula memasuki kawasan perumahan Taman Harmoni di sini bagi melakukan kawalan keselamatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan turut kelihatan melakukan tinjauan di lokasi kejadian.
Sebanyak 220 rumah daripada 439 rumah penduduk yang terjejas disahkan selamat hasil penilaian kali kedua yang lebih terperinci dilakukan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan radius yang lebih besar.
Bakinya pula iaitu 87 buah lagi mengalami kerosakan melebihi 20 peratus iaitu kerosakan besar dan 132 mengalami kerosakan kecil iaitu kurang daripada 20 peratus. – UTUSAN