KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan penggunaan MyDigital ID secara meluas dalam sebarang urusan pembayaran saman trafik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun penggunaan MyDigital ID tidak diwajibkan namun ia termasuk dalam dasar, malah kerajaan bersetuju melakukan pindaan Akta Pendaftaran Negara 1959 bagi membolehkan penggunaan platform tersebut.
Katanya, perkara itu bagi memastikan peningkatan penggunaan aplikasi itu pada masa akan datang.
“Perkara ini masih dalam peringkat cadangan dan belum diluluskan di Parlimen.
“Kita menggalakkan mereka (pengguna) menggunakan aplikasi itu bagi mengesahkan identiti dalam satu urusan,” katanya ketika berucap dalam Jamuan Raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Titiwangsa hari ini.
Menurutnya, semua urusan membabitkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) selepas ini akan mengutamakan orang ramai yang berdaftar dengan MyDigital ID.
“Jika sebelum ini, JSPT bermurah hati memberi tawaran diskaun saman sehingga 50 peratus namun bagi mereka memiliki aplikasi itu kita akan bagi lebih lagi mungkin dalam 55 peratus.
“Untuk mendaftar MyDigital ini mudah sahaja hanya menggunakan telefon bimbit dan sekejap sahaja proses pendaftaran,” katanya. – UTUSAN