Kasih kembali bertaut, Sufian Suhaimi rancang akhiri zaman bujang tahun ini - Utusan Malaysia

Kasih kembali bertaut, Sufian Suhaimi rancang akhiri zaman bujang tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kami sudah bersama sejak hujung tahun lalu dan hubungan kami sangat baik.”

Demikian kata penyanyi, Sufian Suhaimi ketika mengesahkan dirinya kembali bergelar kekasih kepada wanita bernama Rania selepas hubungan mereka terputus pada 2023.

Menurut Sufian, dia juga merancang untuk menamatkan zaman bujang bersama pilihan hatinya itu pada tahun ini.

“Masing-masing tengah membina kerjaya dan saya pun ada banyak lagi perancangan dari segi keluarga dan perniagaan. Saya pun akan lebih serius dalam muzik.

“Bina masjid pun sebahagian dari rancangan juga. Apa yang penting kami berdua ada dalam tujuan sama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Rumah Terbuka Ritma Riang Raya 2025 Rusa MVM Music, pada Selasa.

Dalam masa sama, pelantun lagu Menggenggam Bahagia itu tidak mahu menjalinkan hubungan cinta terlalu lama kerana yakin perkahwinan itu juga tuntutan agama.

“Saya rasa sudah wajib untuk saya berkahwin. Kalau kahwin tahun ini pun saya okay saja. Kalau boleh tak mahu lama-lama sangat bercinta. Saya rasa kalau kita dah merancang, benda itu boleh laksanakan dalam masa yang singkatlah, Insya-Allah

“Tak ada orang yang 100 peratus bersedia nak berkahwin, jadi suami atau seorang bapa. Tengok niat kita sebenarnya nak tamatkan zaman bujang ini sebab apa. Bukan nak seronok semata-mata, lebih kepada melunaskan tuntutan agama,” jelasnya.

Mengakui dia yang mula memujuk kekasihnya, Sufian menyifatkan kegagalan hubungan mereka sebelum ini lebih mematangkannya selain enggan sia-siakan peluang kedua.

“Bagi saya, tiada yang sempurna. Semua yang berlaku sudah ditulis, Allah yang tentukan. Kita sebagai manusia terutama sekali Muslim, buat yang terbaik. Kita dah diberikan rezeki.

“Kalau gunakan rezeki itu sebaik mungkin, kalau rezeki jodoh tahun ini saya akan laksanakan tanggungjawab saya dengan sehabis baik,” jelasnya.

Sebelum ini, Sufian memuat naik foto bersama Rania dalam media sosial dan meletakkan emoji hati, pada awal Januari lalu sekali gus menguatkan spekulasi bahawa kasih mereka kembali bertaut selepas dikatakan berpisah pada April 2023. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya