Kami sama-sama minat anime - Utusan Malaysia

Kami sama-sama minat anime

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Umum mengetahui, pada waktu ini, pelakon, Alicia Amin, nampaknya selesa memilih untuk tidak menyembunyikan dengan siapa dia berkawan dan menjalin hubungan cinta.

Terbuka mengakui bahawa dia sudah mempunyai kekasih, Alicia, sedar, tidak mungkin latar belakangnya sebagai seorang wanita yang pernah berkahwin dan bercerai sebelum ini dapat terpadam semudah itu dari ingatan kebanyakan orang.

Pun begitu, ia bukan satu bebanan buat dirinya. Malah, pengalaman pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas suami terdahulu dijadikan sebagai satu memori dan pengajaran yang positif dalam hidupnya. Antara dia dan bekas suami, tiada dendam terwujud dengan masing-masing saling menghormati laluan hidup pilihan sendiri kini.

Pun begitu, untuk kembali mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, bagi Alicia, itu bukan apa yang dibayanginya pada waktu ini.

Kedengaran klise, bagi Alicia, masih terlalu banyak cita-cita yang ingin dicapainya terlebih dahulu dan dia percaya, kekasih hatinya, Ahmad Raqa’il, sangat memahami akan kemahuannya yang satu ini.

“Jangan salah faham. Bukannya saya tidak mahu berkahwin lagi. Tetapi bagi saya, untuk berkahwin itu mungkin bukan sekarang.

“Ya, saya akui saya sudah ada kekasih sekarang dan tak menyembunyikan perkara itu, di media sosial pun saya ada sahaja kongsikan.

“Tetapi, saya dan dia pilih untuk jalani hidup ini dengan fasa saling mengenali dahulu. Memang dia kawan lama saya, tetapi hubungan itu tidak rapat sangat sebelum ini.

“Jadi, saya dan dia mahu kenal diri masing-masing dahulu sebelum buat keputusan berkahwin,”katanya.

Menurut pelakon berusia 29 tahun ini, dia juga mahu memberi ruang dan tempoh bertenang untuk diri sendiri kerana harus diakui, perceraian juga bukan sesuatu yang mudah buat mereka yang pernah melaluinya.

Memilih untuk berhati-hati, Alicia tidak menolak, apa-apa sahaja keputusannya tentang perkahwinan, selepas ini dia harus berfikir dengan lebih matang dan semasak-masaknya.

“Ya, mungkin hati-hati adalah perkataan terbaik. Sebagai wanita yang pernah melalui fasa perceraian, bagi saya ia tidak mudah. Orang mungkin nampak saya seolah-olah tenang, tetapi ia satu proses yang perlu mengambil masa.

“Mustahil tak ada pergaduhan atau air mata sebelum itu. Saya cuma mahu beri ruang buat diri untuk mengubati fasa perit ini. Sebab itu walaupun saya sudah ada kekasih kini, kami tak nak terburu-buru.

“Kami mahu tenang-tenang sahaja dan tengok macam mana aturan dan takdir ini akan bawa kami ke fasa seterusnya,”katanya.

Terbuka menceritakan serba sedikit mengenai kekasih hatinya kini, kata pelakon drama Andai Tiada Dia ini lagi, dia sebenarnya bersyukur kerana Ahmad Raqa’il mempunyai minat yang sama dengannya.

Cerita Alicia, selepas berpisah dengan bekas suami, dia tanpa sengaja kembali bersahabat dengan Raqa’il dan menghubunginya kerana tahu, lelaki itu meminati animasi Jepun sama seperti dirinya.

“Jadi saya ini pun sebenarnya suka dengan animasi Jepun atau anime. Dia antara rakan lama yang saya tahu turut meminati anime. Jadi suatu hari itu, saya hubunginya sebab nak bertanya mengenai siri anime yang sedang ditonton.

“Sebenarnya dia juga adalah rakan lama ketika kami sama-sama bekerja di sebuah kafe dahulu. Kami kalau bersembang pun memang banyak mengenai anime sebelum ini

“Cuma selepas itu, kami bawa haluan hidup masing-masinglah selepas saya berhenti kerja di kafe itu.
Selepas saya bercerai, saya mula tonton anime One Piece sebab dia sudah bertahun-tahun suruh tonton.

“Tapi, saya suruh dia teman untuk tonton, kemudian lama-lama kami jadi bersembang setiap hari. Selepas itu kami juga banyak bersembang perkara lain,” katanya.

Tidak menolak barangkali minat yang sama itu telah menyatukan hati mereka tanpa paksaan, Alicia mengakui kehadiran Raqa’il di sisinya kini memberi makna istimewa buat dirinya.

Pada masa yang sama, kata Alicia, dia juga memberi sokongan penuh buat Raqa’il yang kini sedang menjalankan perniagaan makanan iaitu pizza di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

“Saya pun sangat-sangat gembira apabila dia nyatakan hasrat nak tumpukan pada perniagaan pizza dan kedai kopi yang diusahakannya pada waktu ini.

“Saya pun nak tengok perniagaannya itu berkembang sebab baru setahun lalu ia diusahakan. Kalau boleh, saya nak tengok dia dapat buka lebih banyak cawangan selepas ini sebab kedainya itu juga dapat banyak sambutan daripada penggemar pizza.

“Apabila sudah betul-betul stabil, mungkin selepas itu baharu kami akan fikir tentang kahwin,” katanya.
Dalam pada itu, Alicia juga berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kebahagiaan dirinya termasuk kerjaya seninya yang kini sedang berkembang dengan baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya