GEORGE TOWN: Jabatan Peguam Negara digesa untuk meneliti semula pertuduhan terhadap seorang suspek yang didakwa memukul seorang wanita warga Indonesia menggunakan tukul besi dalam satu kejadian rompakan di sebuah rumah di Taman Tenggiri, Seberang Jaya pada 11 September 2024.
Menurut peguam, R.S.N. Rayer, suspek yang juga jiran kepada mangsa hanya didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan sedangkan bukti menunjukkan bahawa berlaku rompakan bersenjata yang dirancang.
“Jadi, kami tuntut penjelasan daripada pihak Jabatan Peguam Negara kenapa suspek hanya dituduh bawah Seksyen 324 sedangkan mangsa telah dipukul bertubi-tubi menggunakan tukul besi dan mengalami kecederaan serius.
“Sepatutnya, suspek dituduh bawah Seksyen 394 atau 397 Kanun Keseksaan kerana kejadian ini melibatkan rompakan dan senjata. Seksyen ini membawa hukuman penjara lebih berat serta sebatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah mangsa, Rina Minda Sari, 48, dan suaminya Ahmad Hussin Hassan, 65.
Difahamkan, kejadian itu berlaku sekitar pukul 10 pagi apabila suspek dipercayai masuk ke dalam rumah mangsa melalui bumbung sebelum memecah masuk ke dalam bilik tidur dan menyerang mangsa dengan menggunakan tukul besi berwarna kuning.
Mangsa yang ketika itu berada di rumah dikatakan dipukul di bahagian kepala berulang kali hingga berdarah sebelum ditolak ke dinding sehingga menyebabkan kecederaan serius.
Ketika kejadian, hanya mangsa berada di rumah bersama suaminya yang juga orang kurang upaya (OKU) manakala dua anaknya yang masing-masing berusia 14 dan 16 tahun sedang bersekolah.
Rayer berkata, suspek bagaimanapun tidak mengaku bersalah setakat ini dan dibebaskan dengan jaminan selepas pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 324.
“Jika dituduh bawah Seksyen 324, pesalah boleh hanya dikenakan denda. Tetapi, Seksyen 394 membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 397 pula hukuman penjara hingga 14 tahun serta sebatan.
“Peguam mangsa telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Peguam Negara selepas pertuduhan dibuat, namun, sehingga kini, tiada maklum balas diterima,” katanya.
Rayer turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau perbicaraan kes tersebut dan bersedia membantu pihak berkuasa jika diperlukan bagi memastikan pertuduhan yang lebih tepat dan setimpal dikemukakan.
Dalam pada itu, Rina memohon kerajaan agar membantu memberi keadilan terhadapnya yang kini masih lagi trauma dengan kejadian tersebut.
“Suspek masuk rumah kami melalui bumbung. Dia yang juga jiran kami kemudian mengopek almari, dan mula pukul saya bertubi-tubi tanpa sebab. Kepala saya cedera. Hingga kini masih sakit dan belum sembuh,” katanya. – UTUSAN