Kabel sistem isyarat ERL dipotong, polis giat kesan suspek

Kabel sistem isyarat ERL dipotong, polis giat kesan suspek

TINJAUAN di Stesen Bandar Tasik Selatan susulan Perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit mengalami gangguan serius susulan perbuatan vandalisme membabitkan beberapa siri kecurian kabel serta kerosakan sistem isyarat. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis kini giat mengesan individu yang terbabit dalam cubaan mencuri kabel sistem isyarat di laluan Express Rail Link (ERL) berhampiran Salak Tinggi, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan G Shan Gopal berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 431A/447 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati wayar kabel lampu isyarat perkhidmatan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) itu telah dipotong, namun tiada kehilangan kabel dilaporkan.

“Kerugian akibat kerosakan dianggarkan sekitar RM12,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihaknya menerima laporan sekitar pukul 9.33 pagi dan insiden itu dilaporkan berlaku berhampiran stesen ERL Salak Tinggi.

Shan Gopal berkata, laporan polis dibuat seorang pengawal keselamatan ERL selepas menyedari terdapat gangguan isyarat di lokasi Kilometer 48.5 arah ke KL Sentral.

Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Hishamudin Amin di talian 011-11739477.

Semalam, Perkhidmatan ERL mengalami gangguan apabila kabel perkhidmatan kereta api dipotong pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan perkhidmatan pengantara antara stesen Putrajaya dan Cyberjaya dan KL Sentral disediakan bermula pukul 6 pagi dengan kekerapan selama 20 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN