SHAH ALAM: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membentangkan pelan tindakan dan langkah segera bagi menangani isu banjir di tiga kawasan kritikal di Selangor.
Kawasan itu melibatkan Taman Sri Muda, Shah Alam; Meru, Klang dan Taman Seri Alam, Sungai Buloh.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim berkata, beliau mempengerusikan mesyuarat koordinasi khas bersama JPS dan pihak terlibat bagi membincangkan isu itu semalam.
Jelas beliau, JPS membentangkan perancangan jangka masa panjang, sederhana dan langkah bagi menangani isu banjir di tiga kawasan tersebut.
“Saya tekankan berkali-kali bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sedang membuat pelbagai langkah mitigasi banjir jangka panjang sebagai penyelesaian muktamad banjir. Namun, langkah segera yang boleh diselesaikan dalam masa beberapa hari mesti dilaksanakan sedaya upaya,” katanya hari ini.
Menurut Izham, langkah penyelesaian segera banjir di Meru antaranya melibatkan penyelenggaraan parit atau longkang tidak bertuan.
“Selain itu, ia meliputi pemasangan ‘Flap Gate’ di Sungai Binjai dan mengaktifkan operasi ‘booster pump’ di lokasi sama. Pengalihan utiliti di dalam sungai itu turut akan dilakukan,” ujarnya.
Kata beliau, penyelesaian di Taman Sri Muda pula meliputi menaik taraf sistem saliran dalaman ke tahap perlindungan lebih tinggi.
“Ia juga antaranya melibatkan pembesaran kolam takungan, pengukuhan ban tanah di tebing Sungai Klang dan pembinaan ban sama di tebing Sungai Rasau. Selain itu, kita memfokuskan penguatkuasaan pencerobohan tanah rizab tepi sungai dan pengalihan kabel utiliti atau paip yang menghalang longkang serta menaik taraf sistem automasi pintu kawalan air,” katanya.
Tambah Izham, JPS turut membentangkan status kemajuan kerja pembaikan Kolam Takungan Banjir Hillpark, Puncak Alam yang pecah lagi kali kedua sehingga mengakibatkan banjir di Taman Seri Alam semalam.
“Pihak Hillpark Resources melalui perbincangan bersama JPS dan persatuan penduduk taman itu mencadangkan beberapa langkah segera bagi mengatasi masalah kolam takungan pecah ini. Langkah-langkah segera akan dilaksanakan serta merta pada minggu ini dan saya akan turun ke Klang dan Taman Seri Alam dalam masa terdekat bagi memantau perkara yang dipersetujui itu,” katanya. – UTUSAN