JPKK diminta kenal pasti masalah rakyat untuk dibantu - Utusan Malaysia

JPKK diminta kenal pasti masalah rakyat untuk dibantu

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim menyantuni penduduk di Kampung Pasir Batu Masjid di Temoh, Tapah pada Program Ziarah Kasih Madani DUN Ayer Kuning semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) perlu menjadi mata dan telinga dalam komuniti bagi mengenal pasti golongan kurang berkemampuan untuk mendapat bantuan sewajarnya.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kerjasama pemimpin setempat dalam menyalurkan maklumat akan memastikan setiap bantuan sampai ke kumpulan sasar.

“JPKK memainkan peranan penting sebagai mata dan medium kepada permasalahan rakyat di bawah, begitu juga bagi pemimpin peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Biasanya kita akan berhubung dengan ketua kampung dan pemimpin tempatan untuk kita mengenal pasti permasalahan penduduk dan kawasan berkenaan lebih lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ziarah Kasih Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini semalam.

Pada program itu, seramai lima penerima dari Kampung Pasir Batu Masjid, Temoh menerima bantuan kewangan dan kotak makanan dalam sesi ziarah berkenaan.

Program Ziarah Kasih Madani yang dilaksanakan sejak tahun lalu itu merupakan inisiatif yang diwujudkan oleh Kerajaan Perpaduan bagi menyantuni golongan memerlukan dan mengenal pasti permasalahan dihadapi di satu-satu kawasan.

Menurut Muhammad Kamil, aktiviti turun padang dalam menyantuni penduduk setempat menerusi program Ziarah Kasih Madani bukan sekadar menyalurkan bantuan sebaliknya turut membantu menyelami realiti kehidupan mereka terutama golongan kurang berkemampuan.

Katanya, antara bantuan yang disalurkan bukan hanya melibatkan wang tunai malah kerja-kerja pembaikan jalan dan kemudahan infrastruktur.

“Bantuan yang disalurkan ini merupakan peruntukan khas Perdana Menteri setelah kita meneliti pemohonan dan meninjau keadaan penduduk di kawasan yang dilawati. Biasanya kita akan selaraskan dengan ketua kampung, pejabat agama, sekolah serta agensi berkaitan untuk melihat senarai asnaf.

“Menerusi program ziarah ini, kita dapat buat tinjauan untuk lihat sendiri sejauh mana program pembasmian kemiskinan tegar itu dijalankan sekali gus membolehkan kita mendapat maklum balas terus daripada penduduk,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya