JPJ tahan lori 18 tan guna tayar pecah sejauh 40km

JPJ tahan lori 18 tan guna tayar pecah sejauh 40km

KHAIRUL ASWAD Abdul Halim memeriksa pengguna jalan raya pada Operasi Sepadu Sempena Op Khas HRA 2025 di Lebuh AMJ berhampiran Semabok, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan sebuah lori 18 tan yang dikesan bergerak secara berbahaya di atas jalan raya menggunakan tayar pecah dan botak untuk menghantar muatan batu ke tapak binaan di Jasin di sini.

Kenderaan berat itu ditahan pada 27 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari tapak kuari ke lokasi binaan selepas dikesan anggota JPJ yang sedang membuat rondaan di sekitar Jalan Jasin.

Timbalan Pengarah JPJ Melaka, Khairul Aswad Abdul Halim berkata, hasil pemeriksaan mendapati, lori terbabit telah bergerak sejauh kira-kira 40 kilometer (km) dengan tayar yang tidak selamat dan boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Berdasarkan maklumat rondaan, lori itu sudah bergerak antara 20 hingga 40 kilometer dengan tayar pecah dan botak sebelum berjaya ditahan.

“Lori terbabit kemudiannya dibawa ke Pejabat JPJ Melaka untuk tindakan lanjut terhadap pemandu dan pemilik kenderaan,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai Operasi Sepadu Sempena Op Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Semabok di sini, malam tadi.

Menurut Khairul Aswad, lori berkenaan merupakan antara 518 kenderaan perdagangan termasuk bas ekspres yang diperiksa sepanjang Op Khas HRA 2025 yang bermula sejak 24 Mac lalu.

“Sebanyak 273 saman telah dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan atas pelbagai kesalahan trafik.

“Sebanyak 1,720 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan manakala 2,380 saman dikeluarkan kepada pemandu, penunggang dan pemilik kenderaan yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya,” ujarnya. 

Sepanjang tempoh operasi itu, sebanyak 20,797 kenderaan diperiksa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya