Johari saran mahasiswa UUM kuasai empat bahasa

Johari saran mahasiswa UUM kuasai empat bahasa

JOHARI Abdul ketika menyertai Program Outreach “Bicara Kepimpinan: Memupuk Kepimpinan Masa Hadapan” di UUM Sintok, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) disarankan menguasai sekurang-kurangnya empat bahasa sebagai asas penting untuk bersaing dalam pasaran kerja global sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, mereka perlu bijak menggunakan peluang yang ada semasa menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menguasai pelbagai bahasa.

“Kuasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, Mandarin sebagai bahasa perdagangan dan bahasa Arab sebagai tambahan.

“Dengan menguasai banyak bahasa, tidak akan pernah salah kerana semua majikan akan cari pelajar UUM, jadi universiti perlu wajibkan pelajar ambil empat bahasa kerana saya percaya Tuhan jadikan otak kita tanpa had,” katanya pada Program Outreach “Bicara Kepimpinan: Memupuk Kepimpinan Masa Hadapan” di Sintok, hari ini.

Johari berkata, tempoh empat tahun belajar di universiti perlu dimanfaatkan untuk menguasai penggunaan bahasa bermula dari hari pertama di IPT.

Beliau mengingatkan pelajar agar tidak hanya tertumpu kepada pencapaian akademik, sebaliknya turut membina kemahiran komunikasi, jaringan global dan nilai integriti yang kukuh.

“Kepimpinan bermula dengan keberanian untuk keluar dari zon selesa. Kuasai bahasa, perluas jaringan dan jadilah pemimpin yang relevan dalam era digital.

“Saya galakkan pelajar UUM menganjurkan banyak lawatan sambil belajar ke luar, terutama universiti-universiti untuk meluaskan lagi pengalaman serta pengetahuan mereka. Keluarlah untuk melihat dunia. Jangan terlalu terikat dengan sistem,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan pelajar yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang politik agar memiliki pakej lengkap antaranya pencapaian yang baik dalam pelajaran serta penampilan yang menarik.

“Anda bukan sahaja akan ditanya oleh ribuan manusia, tapi anda juga akan ditanya oleh Tuhan, apakah yang telah anda lakukan ketika anda mempunyai kuasa, jadilah seorang wakil rakyat yang bijak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya