JIM gempur Hentian Kajang, 288 PATI ditahan

JIM gempur Hentian Kajang, 288 PATI ditahan, bongkar pusat judi haram

Sebahagian daripada 288 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen di Hentian Kajang malam semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menahan seramai 288 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi di Hentian Kajang, di sini malam semalam.

Serbuan di enam blok itu bermula pada pukul 7.30 petang yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Operasi itu juga berjaya membongkar sebuah premis di tingkat satu blok bangunan yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

Ketika diserbu, premis bertutup itu disangka sebagai premis kediaman.

Bagaimanapun, ketika pintu premis diketuk oleh anggota operasi, seorang wanita Indonesia keluar sebelum menemukan beberapa komputer riba di atas meja.

Wanita berusia lingkungan 40-an itu mendakwa, dia bekerja menjaga premis sejak tiga bulan lepas dengan gaji RM1,800 sebulan.

Terdapat warga asing cuba melarikan diri selain bersembunyi dalam tandas dan memberi pelbagai alasan semasa ditahan.

Selain itu, terdapat juga warga asing yang melakukan kerja-kerja menjahit pakaian di kaki lima premis selain penduduk tempatan mendakwa kawasan itu seperti ‘perkampungan’ asing ketika hari minggu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, seramai 288 orang disyaki PATI membabitkan 242 lelaki serta 46 wanita berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun telah ditahan dalam operasi terbabit.

Katanya, tangkapan membabitkan warga Indonesia, Myanmar, Pakistan, Nepal, India, Sri Lanka dan Sudan.

“Antara kesalahan dikesan ialah tiada dokumen, langgar syarat pas, tinggal lebih masa serta pemegang kad yang tak diiktiraf.

“Lokasi ini pernah diserbu sebelum ini dan akan terus dipergiat pada masa akan datang bagi memastikan lokasi terbabit bebas daripada PATI,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurutnya, kebanyakan warga asing terbabit bekerja di premis makanan dan kilang berhampiran.

Ketika ditanya berhubung penemuan premis disyaki menjalankan aktiviti perjudian, Jafri berkata, siasatan lanjut akan dibuat bagi mengesahkan kejadian itu.

Tambahnya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk dokumentasi sebelum dihantar ke Depot Tahanan Semenyih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya