PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Alif Satar memaklumkan dirinya kini sedang aktif menguruskan perniagaannya yang menawarkan khidmat penghantaran barang di Arab Saudi sejak tahun lalu.
Menurut Alif, dia juga menubuhkan sebuah syarikat iaitu WExpress yang diuruskan bersama empat lagi pengarah lain yang membantu memastikan proses penghantaran barang jemaah umrah dan haji berjalan lancar
“Orang nampak saya dalam industri hiburan saja. Tetapi saya ada perniagaan yang lain juga yang memerlukan perhatian saya. Saya ada syarikat perkhidmatan kurier sendiri iaitu WExpress di Saudi. Perniagaan ini diuruskan bersama empat lagi pengarah lain.
“Musim haji pun sudah dekat, jadi di sana tengah sibuk. Kalau saya tidak kerja dalam industri hiburan, inilah karier saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut mengenai perniagaan tersebut, Alif memberitahu idea itu mula tercetus selepas dia melihat situasi proses penghantaran barang jemaah ketika menunaikan ibadah haji pada tahun 2023.
Kata Alif, servis kurier tersebut turut bekerjasama dengan syarikat Pos Malaysia sekali gus membantu pergerakan dan proses penghantaran barang menjadi lebih mudah.
“Idea ini mula tercetus ketika saya mengerjakan ibadah haji pada 2023. Saya perasan banyak kotak yang mahu dibawa pulang ke Malaysia.
“Tetapi servis penghantaran di sana terlalu mahal. Maka, tercetuslah idea ini dan kami menawarkan harga yang murah.
“Dia memang mencabar. Tetapi saya turut bekerjasama bersama dengan Pos Malaysia. Jadi, semua urusan itu menjadi lancar dan lebih mudah,” jelasnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Cukup Indah tersebut sempat meluahkan rasa syukur kerana perniagaan yang dijalankan di negara Timur Tengah itu menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan.
“Di sana kita membantu jemaah yang melakukan ibadah umrah untuk menghantar barang. Pada awal saya buat perkhidmatan ini, kami hanya menghantar satu kotak sahaja dalam sebulan. Sekarang, kami menghantar barang sebanyak empat tan setiap dua minggu.
“Jadi jemaah-jemaah dari Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand kalau mereka tunaikan umrah mahu beli barang atau nak hantar beg ke, syarikat saya akan hantar balik ke negara mereka,” ujarnya. -UTUSAN