KUALA LUMPUR: Pelakon, Beego tiba di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) berhubung kes perceraian bersama isterinya, Linda Hashim, jam 11 pagi ini.
Hadir dengan harapan yang sama, Beego berkata dia masih lagi mahu cuba menyelamatkan rumah tangganya.
“Harapan masih sama lagi. Kalau boleh kita cuba nak selamatkan rumah tangga,” katanya.
Beego hadir bersama peguam bela, Muhammad Akmal Mazan dan ibunya, Rashidah Elias sebagai wakil untuk proses JKP.
Sementara itu, Linda tiba di mahkamah 15 minit kemudian bersama peguamnya, Nurul Fadzilah Kamaluddin dan melantik bapa saudaranya, Johaini Arif sebagai wakil JKP.
Linda berkata, dia tetap nekad dengan keputusannya untuk berpisah selain mengharapkan segala proses berjalan dengan lancar.
“Kita sudah berbincang perkara ini bertahun-tahun dan tiada kesudahannya. Saya mengharapkan pengakhiran yang baik tanpa ada sebarang masalah.
“Saya harap semuanya berjalan dengan lancar. Apa pun yang terjadi selepas ini saya harap kami masih lagi boleh berdamai demi anak-anak,” katanya.
Ditanya sekiranya Beego enggan melepaskannya sebagai isteri, Linda terbuka untuk mengikuti proses selanjutnya namun, akan membuka lagi satu fail baru yang tidak didedahkan secara terperinci.
“Saya akan ikut sahaja prosesnya. Tetapi, mungkin saya akan buka fail baru kerana saya ada fail lain juga,” ujarnya.
Pada Januari lalu, Linda telah memfailkan perceraian buat kali ketiga di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur terhadap suaminya, Beego atas alasan sudah tiada persefahaman.
Pada Mei 2023, Linda dan Beego pernah hadir ke mahkamah yang sama bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak susulan mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac 2023.
Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu tiga orang cahaya mata Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.