Jeti Kuala Kedah jauh dari kawasan cetek atasi masalah air surut

Jeti Kuala Kedah jauh dari kawasan cetek atasi masalah air surut

TRIP perjalanan feri ke Pulau Langkawi terganggu disebabkan masalah air pasang surut yang berlaku di Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Masalah air pasang surut yang berlaku di Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah, di sini boleh diatasi sekiranya fasiliti itu dibina semula di kawasan yang lebih jauh dari pesisir pantai atau kawasan cetek.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab. Ghani berkata, kerajaan negeri ada berbincang tentang cadangan itu dengan Kementerian Pengangkutan.

Katanya, masalah itu menyebabkan trip perjalanan feri ke Pulau Langkawi terganggu disebabkan paras kedalaman air yang tidak mencukupi untuk feri berlabuh.

“Saya ada berbincang dengan operator feri, keresahan mereka adalah isu paras air sebab itu ada usaha sedang dilakukan pengorekan pasir di jeti Kuala Perlis dan Kuala Kedah usaha dijalankan untuk menaik taraf jeti.

“Jeti Kuala Kedah itu jangan buat di lokasi sekarang tapi buat di tengah laut. Bila pindah di tengah laut selesai masalah yang dihadapi sekarang ini. Jika dibuat di tengah laut tiada isu air pasang surut,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.

Tambah Dzowahir, Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah juga semakin sibuk apabila turut menjadi lokasi berlabuh dan laluan keluar masuk bot nelayan untuk menangkap hasil laut.

Sementara itu, kerajaan negeri juga sedang mengkaji keperluan untuk menubuhkan syarikat feri sendiri bagi mengendalikan perkhidmatan itu ke Langkawi agar dapat menampung keperluan yang semakin meningkat ketika ini.

“Penubuhan syarikat milik kerajaan negeri memerlukan kajian teliti daripada sudut kos operasi, daya saing komersial, urusan dan sokongan teknikal. Insya-Allah jika kajian ini memberi gambaran yang positif ia dapat membantu khususnya penduduk langkawi dalam hal feri tak cukup.

“Kerajaan negeri juga mengintai peluang-peluang kerjasama dengan pihak-pihak swasta atau mana-mana pihak yang berminat untuk menubuhkan syarikat feri,” katanya.

Katanya, hal itu bagi membantu orang ramai khususnya penduduk Langkawi yang sering berulang alik ke tanah besar untuk urusan harian.

“Dulu-dulu kalau ingat kita boleh ke Langkawi balik hari, kalau pergi pagi petang kita boleh balik, atau boleh ambil feri malam. Sekarang tiada lagi,  kalau pergi Langkawi kena tidur satu malam.

“Lebih kasihan kepada penduduk Langkawi kalau perlu datang ke Alor Setar kerana sakit atau melawat keluarga kena tidur satu malam di Alor Setar dan balik Langkawi esok.

“Inilah antara rungutan penduduk Langkawi khasnya tentang jadual feri pada masa ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya