Jenazah seniwati lagenda Noor Azizah selamat dikebumikan

Jenazah seniwati lagenda Noor Azizah selamat dikebumikan

ANAK perempuan Allahyarham Datin Noor Azizah, Khairena menyiram pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh di Ipoh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jenazah Allahyarham seniwati lagenda, Datin Noor Azizah Azizul Hassan, 78, yang meninggal dunia awal pagi tadi, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh, di sini hari ini.

Jenazah pelakon veteran yang popular dalam filem klasik Enam Jahanam arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu selamat dikebumikan pada pukul 2.50 petang.

Lebih 100 orang terdiri dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan menghadiri pengebumian Allahyarham termasuk penyanyi terkenal era 70-an yang juga Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave.

Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa dari kediamannya di Kampung Sungai Rapat di sini dengan menggunakan van ke Masjid Paloh untuk solat jenazah sekitar pukul 1 petang.

Allahyarham meninggalkan suami, Datuk Nik Hussain Nik Ali, 94, dan dua anak, Khairena dan Khairi masing-masing berusia 38 dan 34 tahun serta menantu, Nur Zulaikha Azman, 35, dan seorang cucu, Kaiser Ali berusia enam tahun.

Menurut Khairena, mereka sekeluarga sempat keluar makan malam bersama dan ibunya turut meluangkan masa menyaksikan bunga api di kediaman mereka.

“Pagi tadi bapa panggil saya sekitar pukul 1 pagi ketika itu ibu mengalami sesak nafas. Melihat keadaan ibu, saya mula rasa tidak sedap hati dan terus menghubungi ambulans. 

“Ketika ambulans tiba, ibu sudah tidak sedar diri dan pasukan perubatan berusaha menyelamatkannya sehingga dimaklumkan ibu sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, sepupu Allahyarham, Yong Arbeya Abd. Rahman, 69, berkata, kehilangan sepupunya itu amat dirasai kerana Noor Azizah dikenali keluarga sebagai seorang peramah, lemah lembut dan rajin memasak.

Malah katanya, wanita itu juga amat pemurah dan tidak lokek memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

“Setiap tahun arwah akan bersedekah di mana terdapat 10 buah rumah anak-anak yatim yang akan menerima zakatnya. Di Masjid Paloh ini sendiri banyak yang disumbangkan termasuk penghawa dingin.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah semalam ketika datang beraya di rumahnya. Ketika itu, tiada perubahan pun, dia gembira macam biasa selalu ketawa,” katanya.

Sepanjang kerjaya lakonannya, Allahyarham pernah membintangi filem Jangan Tinggal Daku, Kembang Layu, Durjana, Di Belakang Tabir, Perintah Sri Paduka, Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh, Sayang Anakku Sayang, Cinta dan Lagu serta Pendekar.

Noor Azizah pernah diberi penghormatan membintangi filem produksi Indonesia iaitu Malin Kundang bergandingan bersama aktor terkenal, Rano Karno dan Jangan Kau Tangiskan.

Beliau juga pernah membintangi drama bersiri, Bailey Bird daripada produksi Australia pada 1977 dengan memegang watak Doktor Susan Lim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya