SEBELUM mencipta penyanyi bertaraf legenda, Datuk Aishah, lebih dahulu dikenali di peringkat
antarabangsa menerusi pembabitannya dalam Aishah and the Fan Club, sebuah kumpulan pop terkenal di New Zealand sekitar penghujung 80-an.
Aishah, satu-satunya perempuan dan orang Asia dalam kumpulan itu. Usianya ketika menganggotai kumpulan itu adalah sekitar 19 tahun. Aishah and the Fan Club sempat menerbitkan dua album iaitu Sensation yang diterbitkan pada 1988, dan Respect the Beat (1989).
Antara single mereka yang berjaya memikat hati peminat antarabangsa ketika itu adalah Sensation, Call Me, Paradise dan banyak lagi. Lebih lima tahun menganggotai Aishah and the Fan Club, banyak pengalaman menarik yang masih segar dalam ingatan vokalis tersohor Malaysia ini.
Antaranya, pengalaman beliau membuat persembahan Jejak Aishah di ‘hujung dunia’ di kawasan yang dipanggil The Bluff di New Zealand, yang digelar sebagai Penghujung Dunia.
“Saya, bersama empat anggota lain, berkesempatan tour seluruh New Zealand.
“Banyak masa kami dihabiskan di perjalanan, menaiki van untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk membuat persembahan.
“Antara tempat yang saya tidak pernah terfikir untuk jejakkan kaki adalah kawasan paling hujung New Zealand iaitu Bluff di South Island.
“Ia dipanggil penghujung dunia kerana selepasnya adalah laut lepas dan benua Antartika,” kongsi Aishah.
Penyanyi berusia 59 tahun ini turut menceritakan pengalaman cemas yang dihadapinya di sebuah kawasan pergunungan sekitar Queenstown, New Zealand.
“Ketika itu, saya dan anggota Aishah and the Fan Club yang lain mengambil kesempatan bermain luncur salji di kawasan itu.
“Namun keadaan bertukar cemas apabila salah seorang anggota kumpulan lupa memadamkanlampu van sehingga menghabiskan kenderaan kami kehabisan bateri.
“Lebih mencemaskan adalah kami perlu turun dari kawasan itu untuk membuat persembahan di salah sebuah resort di sana. Mahu atau tidak, kami terpaksa meninggalkan van dan menumpang kakitangan pusat peranginan itu untuk turun.
“Selepas selesai membuat persembahan, kami naik semula untuk hidupkan semula bateri van yang kami tinggalkan itu. Saya tidak dapat lupakan betapa mencabarnya perjalanan kami untuk naik semula ke kawasan pergunungan yang ditutupi salji tebal sekitar pukul 2 pagi,” cerita beliau.
TUJUH JAM KE UJI BAKAT
Aishah merupakan antara peminat Whitney Housten yang sebelum bergelar penyanyi profesional, pernah merakamkan demo lagu-lagu mendiang di studio komposer terkenal, arwah Datuk S. Atan.
Demo tersebut jugalah yang dihantar penyanyi ini untuk menyertai sebuah pertandingan nyanyian di New Zealand ketika beliau melanjutkan pelajaran di negara tersebut pada tahun 1984.
“Kawan-kawan saya sanggup menyewa van dan memandu selama tujuh jam untuk membawa saya yang ketika itu di Auckland menghadiri uji bakat di TV New Zealand di Wellington.
“Enam bulan kemudian, seorang individu, yang menyaksikan persembahan saya sewaktu uji bakat itu, memaklumkan saya mengenai dua kumpulan yang sedang mencari vokalis.
“Salah satu kumpulan sudah pun terkenal, manakala satu lagi adalah Fan Club yang ketika itu baru menapak.
“Akhirnya saya buat keputusan untuk menyertai Fan Club kerana mahu belajar dari bawah dan enggan dibandingkan dengan vokalis asal jika saya sertai kumpulan yang ada nama itu,” katanya.
Kongsi Aishah, banyak cabaran yang dilalui sebelum Aishah and the Fan Club terkenal. Tambahan pula, beliau menjadi satu-satunya perempuan dan berketurunan Asia yang menganggotai kumpulan didominasi lelaki.
“Kami bermula sebagai band kecil. Untuk bertahan di awal itu memang sangat mencabar.
“Masa itu kami baru nak membina nama. Kerja keras membuat persembahan dari satu kelab malam, ke kelab malam lain, dari satu daerah ke daerah lain.
“Bayangkan kami habiskan banyak masa di perjalanan, menyanyi di kelab malam sampai pukul 3 pagi. Tapi waktu itu kami muda, seronok hadapi cabaran
“Tapi bahagian yang paling mencabar adalah apabila saya menjadi satu-satunya perempuan dalam kumpulan itu. Tapi, anggota lain kagum kerana saya perempuan Asia yang tegas dan tak mudah dibuli,” katanya.
MASUK HOSPITAL SELEPAS RAKAM ALBUM
Selepas beberapa tahun bersama, Aishah and the Fan Club memutuskan untuk berehat dan membawa haluan masing-masing.
Aishah yang berada di kemuncak kariernya ketika itu memutuskan untuk pulang ke Malaysia dan pada tahun 1990, beliau dilamar arwah Adnan Abu Hassan untuk menerbitkan album pertamanya berjudul Aishah.
Kini, Aishah mencipta pelbagai kejayaan menerusi 10 buah album termasuk Aishah II yang diterbitkan pada tahun 1991, Aishah III: Asia Sedunia (1992), Klasik (1993), Wajah (1995), Tiada Duka Untuk Apa (1996), Tiada Akhirnya (1998), Pulanglah Perantau (2000), Kurnia (2006) dan Anak (2010).
Beliau juga sempat menerbitkan empat album kompilasi iaitu Merenung Bulan dan Memori Klasik (1996), No 1 Pop & Klasik dan Keunggulan (2006).
“Antara album yang paling mencabar untuk dihasilkan adalah Tiada Duka Untuk Apa yang kami siapkan dalam tempoh 3 minggu.
“Saya terlibat sepanjang proses dan pasukan kami bekerja hampir 18 jam sehari untuk memastikan album itu siap dalam tempoh ditetapkan.
“Saya dimasukkan ke hospital selepas album itu siap kerana terlalu kepenatan,” ceritanya.
Dalam pada itu, Aishah juga menceritakan pengalaman tidak masuk akal, mempersembahkan berbelas lagu dalam bentuk medley secara live pada tahun 2000.
“Persembahan itu diiringi Kombo Rejimen Askar Melayu Diraja membabitkan 15 lagu yang dinyanyikan secara medley secara berterusan selama 40 minit.
“Kami hantar permohonan untuk senaraikan usaha itu dalam Malaysia Book of Records namun ditolak,” jelasnya.