SEREMBAN: Seramai 50,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara disasarkan dapat dilatih dan menyertai program asas renangan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, perkara ini telah dimasukkan menjadi salah satu inisiatif JBPM di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membabitkan pelan strategi dalam tempoh tersebut.
“Jadi daripada JBPM adalah dengan melatih pelajar sekolah berkaitan asas renangan dan kami akan cuba sedaya upaya bersama dengan agensi lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melatih 50,000 pelajar sekolah asas renangan.
“Perbincangan awal telah dimulakan dan pada Julai ini satu pembentangan bersempena Hari Pencegahan Lemas Sedunia akan dibuat, bagaimana mahu capai 50,000 pelajar sekolah untuk diberikan asas renangan tersebut,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penganugerahan Pingat Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024, Sijil Perkhidmatan 30 tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji JBPM Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.
Katanya, untuk tujuan itu, JBPM akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan termasuk pihak hotel bagi membantu daripada segi penyediaan kemudahan kolam renang.
Dalam pada itu, jelas beliau, berdasarkan kepada kajian dibuat, 83 peratus daripada isu kelemasan dapat diselesaikan dan dikurangkan sekiranya individu mengetahui mengenai asas renang.
“Kadang-kadang orang jatuh sebenarnya boleh diselamatkan tapi apabila tiada asas renang itu, dia tidak boleh menyelamatkan diri,” katanya. – UTUSAN