PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mengkaji amalan terbaik di peringkat antarabangsa dalam pengurusan dan keselamatan saluran gas di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kajian itu penting sebagai usaha penambahbaikan kepada sistem sedia ada.
Beliau berkata, amalan terbaik itu kemudian akan dicadangkan kepada pihak berkaitan termasuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi mengelak insiden kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu berulang.
“Kita akan mencadangkan ataupun melihat perbandingan amalan-amalan terbaik yang dibuat di seluruh dunia (berhubung pengurusan saluran gas) untuk kita buat cadangan kepada pihak Petronas,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan Surat Setuju Terima (Bagi Tender Bekalan) antara JBPM dan CLW Special Automobile (M) Sdn. Bhd. (CLW Malaysia) di sini hari ini.
Insiden kebakaran saluran paip gas yang berlaku pukul 8.10 pagi pada 1 April lepas, menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Insiden itu menyebabkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas.
Mengulas lanjut, katanya, lima pegawai JBPM masih ditugaskan di lapangan bagi mendapatkan data berkaitan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
“Kita masih lagi dalam peringkat siasatan dan kita perlukan lebih kurang dalam dua minggu untuk membuat kompilasi awal berhubung data-data yang telah kita dapat,” katanya.
Nor Hisham berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan agensi teknikal lain seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhuhung insiden itu.
“Kita akan duduk bersekali dan mengumpulkan segala maklumat yang ada tentang dapatan insiden itu,” katanya. – UTUSAN