PETALING JAYA: Kekal awet muda di usia 51 tahun, pelakon jelita, Erra Fazira tampil merungkai rahsia penjagaan diri yang diamalkan supaya sentiasa kelihatan cantik dan menawan.
Menurut Erra, kecantikannya itu terpelihara sehingga kini kerana sering mengikut petua serta rutin penjagaan diri yang diajar oleh ibunya, Azizah Zaik sejak usianya muda.
“Apa yang saya amalkan adalah apa yang mak ajar saya daripada zaman muda lagi. Penjagaan kulit, pemakanan dan senaman semua saya ikut mak saya,” katanya.
Erra berkongsi perkara itu menerusi sebuah sesi audio siar Hitam Putih Kehidupan yang dikendalikan oleh Datuk Rosyam Nor.
Dalam perkongsian sama, penyanyi lagu Jendela Hati itu ibunya juga masih aktif bersenam dan tetap mengamalkan rutin penjagaan kulit setiap hari meskipun sudah berusia.
“Alhamdulillah, sampai sekarang ini mak saya masih lagi aktif bersenam. Dia biasa akan duduk selama 10 minit dan lumurkan losyen pada badan, muka.
“Rutin tu dilakukan sejak dia muda sampai sekarang. Contohnya kalau syampu rambut pun tak akan tukar dari dulu sampai sekarang,” kongsinya.
Terus menjadi inspirasi, Erra turut memberitahu ibunya juga seorang yang tegas dan sangat terperinci dalam menjaga pemakanan seharian.
“Pemakanan pun mak pantau juga, jangan makan bergoreng, jangan ambil kafein. Kalau ikutkan banyak lagi yang pantangnya,” jelasnya. -UTUSAN