TEMERLOH: Tindakan sebuah parti politik menawarkan diri menjadi ‘orang tengah’ dalam isu pencerobohan tanah di Raub disifatkan sebagai tidak wajar, malah seolah-olah mencabar titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu isu itu diselesaikan segera.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Abdul Khalib Abdullah berkata, isu melibatkan kumpulan pekebun durian Musang King yang menceroboh tanah milik kerajaan tidak perlu dipolitikkan atau dipanjangkan lagi kerana ia jelas satu bentuk pelanggaran undang-undang.
Beliau berkata, pihak berkaitan seharusnya menunjukkan rasa hormat kepada Sultan Pahang yang menitahkan supaya segala bentuk pencerobohan tanah di negeri ini dihentikan serta-merta.
“Saya tidak faham kenapa ada parti politik mahu campur tangan lagi dalam hal ini yang dilihat lebih ‘ sudu dari kuah’. Jelas tanah itu milik kerajaan negeri dan kumpulan pekebun berkenaan telah mencerobohnya.
“Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui pula dilihat cuba menjadi hero, sedangkan beliau sepatutnya lebih memahami kedudukan undang-undang dan menghormati institusi diraja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Pahang yang turut dihadiri Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di sini, semalam.
Sementara itu, Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib turut mengecam sikap parti politik berkenaan yang menurutnya cuba mempertahan pekebun haram tersebut, seolah-olah mengabaikan titah Sultan Pahang.
“Perkara ini sepatutnya mudah difahami, apabila anda menceroboh tanah kerajaan, anda bersalah. Tak perlu nak runding atau buat bising. Masuk tanpa izin, kemudian bertindak seolah-olah jadi mangsa, ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya. – UTUSAN