KOTA TINGGI: Tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights, Subang tidak sepatutnya dijadikan modal politik untuk menyerang Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Perak.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejadian bencana dan kemalangan bukan sesuatu yang boleh diramal atau dielakkan sepenuhnya, apatah lagi bukan berlaku secara berulang kali.
“Tragedi Putra Heights bukan soal kesilapan atau kelemahan Kerajaan Perpaduan, ini satu bencana dan juga bukan sesuatu yang kerap berlaku. Puncanya sedang dikenal pasti dan kita harus berusaha memahami perkara ini dengan adil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kota Tinggi di Dewan Jubli Intan Kota Tinggi di sini hari ini.
Beliau berkata, rakyat seharusnya bijak dalam menilai sesuatu isu dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang cuba mempolitikkan tragedi.
“Kalau begitu, setiap kali berlaku kemalangan jalan raya atau banjir, adakah semua itu perlu dijadikan isu untuk menyerang kerajaan? Ini perkara yang berlaku di luar jangkaan dan kawalan.
“Sekiranya kejadian seperti ini berlaku di negeri lain seperti Kedah, adakah Kerajaan Perpaduan akan menggunakannya untuk menyerang pentadbiran negeri tersebut? Sudah tentu tidak,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, agenda lebih besar dan isu pembangunan serta kesejahteraan akan diketengahkan Barisan Nasional dalam PRK Ayer Kuning nanti.
“UMNO akan bawa soal bagaimana adanya kerjasama penubuhan Kerajaan Perpaduan termasuk di Perak, tumpuan dapat diberikan soal-soal untuk membangunkan dan menjaga kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN