PETALING JAYA : Jaminan keselamatan akan diberikan selain identiti mereka tidak akan didedahkan terhadap mana-mana pemberi maklumat berkaitan dadah.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che berkata, setiap maklumat yang diterima akan diproses secara sulit dan identiti pemberi maklumat dalam apa jua sekali pun tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak.
Menurut beliau, kerahsiaan identiti individu yang tampil memberi maklumat serta jaminan terhadap keselamatan pemberi maklumat adalah komitmen serius JSJN demi kesejahteraan mereka dan keluarga.
“Masyarakat tidak perlu gusar serta khuatir dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah kepada pihak polis.
“Ini adalah satu jaminan yang kita ambil serius demi keselamatan dan kesejahteraan pemberi maklumat dan keluarga mereka,” katanya hari ini.
Mat Zani berkata, kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha memerangi penyalahgunaan serta pengedaran dadah di negara ini.
“Masyarakat adalah ‘mata dan telinga’ pihak polis di peringkat akar umbi.
“Tanpa bantuan dan maklumat daripada orang ramai, usaha untuk membanteras sindiket dadah akan menjadi lebih sukar,” jelasnya.
Beliau berkata, orang ramai diminta supaya tidak takut untuk tampil membantu pihak berkuasa dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah dadah.
“Saya ingin menyeru kepada masyarakat agar terus menyalurkan maklumat dan tidak takut untuk tampil membantu.
“Maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline JSJN, balai polis berdekatan atau secara dalam talian menerusi saluran rasmi PDRM,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat melalui media sosial tidak rasmi bagi mengelakkan salah faham atau pendedahan identiti.
“Elakkan berkongsi maklumat melalui media sosial yang tidak rasmi, bagi mengelakkan salah faham atau pendedahan identiti.
“Setiap maklumat yang diterima akan dinilai dengan teliti dan tindakan akan diambil mengikut prinsip serta lunas undang-undang,” katanya.
Katanya, ancaman dadah perlu ditangani secara bersama dan bukan hanya meletakkan tanggungjawab ini kepada pihak berkuasa sahaja.
“JSJN amat menghargai kerjasama rakyat dalam memastikan negara kita bebas daripada ancaman dadah. Kejayaan membanteras jenayah ini adalah kejayaan kita bersama,” katanya.-UTUSAN