PETALING JAYA: Jambatan Victoria di Enggor, Kuala Kangsar, Perak yang mencecah usia 125 tahun kini terbiar tanpa kerja-kerja pemuliharaan walaupun mempunyai nilai warisan tersendiri.
Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata, lebih mendukacitakan, jambatan tersebut yang merupakan jambatan kereta api tertua di negara ini turut mengundang bahaya kepada pengunjung.
Katanya, ini sekali gus memberi ancaman bukan sahaja kepada orang ramai tetapi seni bina warisan sehingga boleh merencatkan aktiviti sejarah.
“Kayu pelapik landasan yang reput perlu ditukar ia boleh membahayakan keselamatan pelawat yang memijak. Penduduk risau kalau ada orang luar cedera.
“Banyak juga komponen besi jambatan itu yang hilang dan ini semestinya mencacatkan seni bina jambatan berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jambatan tersebut dirasmikan pada 21 Mac 1900 dalam satu majlis dengan disaksikan Sultan Perak ketika itu Sultan Idris Murshidul Azzam Shah.
Jambatan itu mula dibina pada 1897 dengan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dan dinamakan sempena nama Ratu Victoria iaitu pemerintah empayar British.
Menurut Nor Hisham lagi, kali terakhir jambatan tersebut dicat adalah pada 2000.
“Kerja-kerja mengecat pada masa itu dilaksanakan anggota tentera di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
“Pada 2021, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) ada melakukan kerja pemasangan lampu dan pada 2023 pula, MPKK memasang jaring untuk mengelak pengunjung terjatuh. Tetapi kerja mengecat hanya berlaku kira-kira 25 tahun lalu,” jelasnya. – UTUSAN