PETALING JAYA: Laluan B23 Jalan Ulu Yam Baharu-Batu Caves (Jalan Sungai Tua-Ulu Yam) ditutup sementara berikutan tanah runtuh dan situasi kepala air yang merbahaya, malam tadi.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan.
“Pengguna jalan raya yang ingin ke kawasan Batang Kali atau Ulu Yam disyorkan menggunakan jalan alternatif Laluan FT001 Jalan Kuala Lumpur-Tanjung Malim dan Laluan B57 Jalan Ulu Yam Baharu-Batu Ulu Yam Lama.
‘Pengguna disarankan mematuhi arahan papan tanda yang disediakan. Kerjasama semua pihak adalah dihargai dan segala kesulitan amat dikesali,” katanya.
Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Sungai Tua-Ulu Yam.
Penolong Pengarah Operasinya, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak menghalang laluan terbabit.
Menurutnya, hanya sebatang pokok yang tumbang akibat runtuhan dan menghalang sebahagian jalan raya. – UTUSAN