PETALING JAYA: “Jadilah seorang yang pemaaf, bukan untuk orang itu tetapi untuk diri sendiri.”
Demikian kata pelakon, Muaz Zabir ketika menitipkan pesanan supaya menjadi seorang yang pemaaf agar dapat memperoleh ketenangan jiwa.
Menurut Muaz, kemaafan tidak semestinya dilakukan selepas menerima permohonan maaf daripada pihak yang bersalah, sebaliknya setiap individu harus lebih terbuka untuk memaafkan untuk kebahagiaan diri.
“Kita kena jadi seorang yang pemaaf. Kadang-kadang kita tak perlukan kata maaf daripada orang itu. Tapi kalau kita ikhlas maafkan orang, sebenarnya kita bukan maafkan orang itu, tapi kita maafkan untuk diri kita,” katanya.
Perkara itu dikongsikan oleh Muaz menerusi sebuah video yang dimuat naik di TikTok, baru-baru ini.
Dalam hantaran sama, pelakon drama Keluarga Itu juga menyifatkan perkara itu secara tidak langsung membantu seseorang itu bebas daripada belenggu dendam dan luka lama yang hanya akan mengganggu ketenangan jiwa.
“Kita kena berdamai dengan takdir,” ujarnya.
Terkesan dengan perkongsian tersebut, rata-rata netizen memuji sikap Muaz yang pemaaf selain bersetuju dengan kata-kata hikmahnya.