SABAK BERNAM: Kerajaan Selangor akan merobohkan struktur sebuah rumah ibadat peribadi yang dibina di tapak cadangan pembinaan Masjid Dengkil jika masih gagal dikosongkan dalam tempoh ditetapkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu isu itu segera diselesaikan bagi kepentingan umat Islam di kawasan tersebut.
“Mengikut titah Tuanku (Sultan Selangor), kami akan mengambil tindakan dalam tempoh sebulan bagi menyelesaikan isu ini. Pemilik rumah ibadat itu sudah bersetuju untuk mengosongkan kawasan berkenaan.
“Ia hanya tempat ibadat peribadi dan bukannya masjid atau rumah ibadat yang berdaftar maka tidak wajar didirikan di atas tanah yang telah diperuntukkan untuk pembinaan masjid bagi manfaat komuniti Islam setempat,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis Tautan Kasih Komuniti Sabak Bernam di Bagan Nakhoda Omar, Sungai Air Tawar di sini, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya memberi jaminan akan memastikan sebarang isu berkaitan sensitiviti agama ditangani secara berhemah.
“Kita tegas dalam isu ini namun keharmonian kaum dan agama akan terus terpelihara,” katanya.
Sementara itu Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail berkata, tiada sebarang isu perpaduan timbul setakat ini dan diharap dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.
Kelmarin media melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor akan memastikan tindakan bagi pengosongan tanah seluas empat hektar itu selepas diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dengan membina kuil dan tokong.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad menegaskan tindakan itu dilakukan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang selaras titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa semua tanah di bawah kelolaan JAIS perlu dijaga daripada pencerobohan. – UTUSAN