PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di kesemua fasiliti kesihatan susulan berlaku isu penyamaran individu sebagai Penolong Pegawai Perubatan (PPP) di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, awal bulan ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, SOP keselamatan perlu diperketatkan bagi mengelak kejadian seumpama itu berlaku lagi.
“Kita mahu soal keselamatan di premis-premis (kesihatan). Perkara itu dalam siasatan dan kita mahukan seperti mana yang saya tekankan baru-baru ini juga untuk memperketatkan dan melihat kembali SOP.
“Sebab perkara ini sesekali timbul, jadi saya mahukan perkara ini disusuli segera untuk kita mempertingkatkan lagi SOP untuk mengelakkan berlaku perkara seumpama ini dan kita mahu perketatkan SOP,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis sambutan Aidilfitri KKM, di sini hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Perlis mengesahkan berlaku insiden seorang lelaki didakwa menyamar sebagai PPP di HTF Perlis awal bulan ini.
Individu itu juga didapati lengkap beruniform PPP dan mempunyai beg peralatan perubatan dan suspek dikatakan melakukan perbuatan itu kerana mempunyai minat mendalam terhadap profesion berkenaan.
Susulan itu, katanya, HTF mengambil tindakan segera dengan memaklumkan kepada pengurusan tertinggi jabatan pada hari sama.
Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu yang menjejaskan keselamatan pesakit termasuk melihat dari sudut intergriti premis kesihatan.
“Kita lihat keseluruhan perkara yang menjejaskan keselamatan. Kita akan kaji semula tentang ini.
“Kesemua itu akan kami pertimbangkan (termasuk polis bantuan) untuk kita perketatkan. Akhirnya keselamatan tidak akan kita kompromi,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan sistem pemilihan penempatan pegawai perubatan atau ePlacement pula, Dzulkefly berkata, sistem berkenaan sudah hampir siap dan sedia diaktifkan.
“Kita dah saat terakhir dan kita kembali untuk melihat terhadap perkara yang saya beritahu dahulu antaranya membabitkan sistem algoritma, semua itu kita lihat kembali.
“Insya-Allah pada bila-bila masa, kita akan laksanakan,” katanya. – UTUSAN