TAPAH: Perikatan Nasional (PN) tidak menunggang isu ladang babi semata-mata untuk meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Sabtu ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, isu ladang babi yang dibangkitkan gabungan parti pembangkang itu bersifat kepentingan awam yang kritikal.
“Jangan bagi tahu kami nak tunggang isu babi. Ini tugas sebagai kami sebagai pembangkang yang konstruktif, bukan untuk kepentingan peribadi tetapi kepentingan rakyat.
“Sepatutnya, isu-isu macam ni tiada masalah. Isu yang kita berganding bahu bersama,” katanya pada Sidang Media Harian PN sempena PRK DUN Ayer Kuning di sini hari ini.
Semalam, PN menggesa kerajaan negeri menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sebuah ladang ternakan babi yang didakwa membuang sisa najis haiwan itu ke Sungai Bidor.
Pimpinan PN melakukan tinjauan di ladang ternakan haiwan itu yang terletak di Kampung Poh, Bidor yang terletak 140 meter daripada penempatan.
Dakwanya, isu ladang babi itu menyebabkan pihak penduduk terpaksa mengambil tindakan sendiri.
“Walaupun pernah diambil tindakan sendiri oleh pihak penduduk dengan skala yang kecil. tindakan tidak berapa berkesan. Tetapi, apabila ada ADUN kita di (sidang) Dewan Undangan Negeri bangkit dan ada sidang media barulah ada sikit respon dan menjadi satu isu nasional.
“Saya tegaskan bukan kita melarang orang bukan Islam makan babi. Kita hanyalah nak bercakap dari segi soal pencemaran, soal berkenaan hal-hal yang membabitkan soal kesihatan. Itu yang kita bangkitkan,” katanya. – UTUSAN