PETALING JAYA: Kerajaan digesa menarik lesen penerbitan sebuah akhbar berbahasa Cina selepas mengeluarkan cetakan surat khabar yang memaparkan Jalur Gemilang tetapi tidak mempunyai lambang bulan sabit.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, pengarang akhbar berkenaan perlu sedar bahawa Jalur Gemilang merupakan simbol kedaulatan, perpaduan dan perjuangan rakyat.
Beliau berkata, Jalur Gemilang bukan sekadar kain berjalur tetapi merupakan panji yang membawa maruah negara.
“Ini negara Malaysia, tidak masuk akal jika mereka yang bekerja di (akhbar berkenaan) langsung tidak mengenali rupa sebenar Jalur Gemilang, melainkan mereka sendiri sudah hilang semangat nasionalisme.
“Jalur Gemilang adalah simbol kontrak sosial kita, di dalamnya tersemat semangat Perlembagaan, kesepakatan kaum dan identiti negara. Hilangnya satu elemen, hilanglah maksud dan makna kebangsaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam akhbar berkenaan mengeluarkan cetakan akhbar memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit bersebelahan bendera China di atas sebuah kapal bersempena dengan lawatan Presiden China, Xin Jinping ke negara ini.
Mohd. Razlan berkata, bulan sabit yang hilang dari imej tersebut bukan sekadar kesilapan rekaan.
“Ia adalah lambang Islam sebagai agama Persekutuan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Ini bukan soal teknikal semata-mata, kita sedang menyentuh perkara asas kenegaraan.
“Lebih membimbangkan, insiden ini berlaku dalam suasana politik yang sedang panas, di mana isu 3R (kaum, agama dan raja) sedang dimainkan secara sengaja oleh pihak pembangkang yang tanpa henti menabur fitnah dan dakyah terhadap kerajaan, demi meracuni pemikiran rakyat,” jelasnya.
Oleh itu, tegasnya, tindakan tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana ia merupakan pengkhianatan terhadap simbol negara.-UTUSAN