TAPAH: Insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights di Subang Jaya, Selangor pada 1 April lalu tidak menjejaskan operasi hospital dan fasiliti kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kejadian tersebut tiada kaitan dengan gas perubatan.
“Tidak terkait. Tiada kena mengena dengan gas perubatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Ramah Mesra Menteri Kesihatan bersama warga kerja kesihatan daerah Batang Padang di Hospital Tapah, di sini hari ini.
Menurut beliau, fasiliti kesihatan di lokasi kejadian yang menyebabkan ratusan rumah musnah itu juga dilaporkan tidak terjejas.
Katanya, tiada laporan kematian dilaporkan meskipun insiden tersebut menyebabkan ramai mangsa cedera akibat melecur.
“Disebalik kebakaran yang begitu tragis, sehingga ke saat ini saya belum dimaklumkan tentang insiden kematian (dalam kalangan mangsa) walaupun ada yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Fasiliti kesihatan kita juga tidak ada yang terjejas,” katanya.
Sementara itu, KKM dalam kenyataannya berkata, setakat pukul 12.30 tengah hari semalam, jumlah mangsa dirawat di seluruh fasiliti kesihatan berjumlah 150 orang.
Daripada jumlah itu katanya, seramai 112 orang mangsa telah discaj dan 38 orang pula masih menerima rawatan di wad-wad hospital iaitu 17 di fasiliti KKM dan 21 di fasiliti kesihatan swasta tanpa kemasukan baru.
“Satu pesakit masih di ICU di sebuah hospital swasta dan kesihatannya semakin menunjukkan kemajuan.
“Daripada 150 orang mangsa, 127 orang telah mengalami kecederaan langsung daripada insiden seperti luka kebakaran (burn wound) atau kecederaan fizikal lain.
“Seramai 18 orang lagi mengalami kecederaan tidak langsung seperti serangan kebimbangan, serangan panik dan serangan tekanan darah tinggi,” katanya. – UTUSAN