SEPANG: Tiada unsur sabotaj atau jenayah dikesan berhubung satu insiden letupan kecil di sebuah stesen minyak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, insiden berlaku sekitar 7 petang itu berlaku sejurus konvoi ketibaan Presiden China, Xi Jinping melalui kawasan tersebut.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati letupan berpunca daripada kerosakan teknikal pada bateri sebuah kenderaan dan tiada unsur sabotaj atau jenayah dikesan.
“Tiada kecederaan dilaporkan dan tiada kerosakan harta benda awam berlaku dalam kejadian tersebut.
“Pihak polis telah membuka satu laporan berkaitan insiden ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini
Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan spekulasi atau berita tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
Azman berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan, terutama ketika lawatan rasmi pemimpin negara asing ke Malaysia.
Dalam kejadian semalam, berlaku satu letupan kecil di sebuah stesen minyak Petronas KLIA arah ke Kuala Lumpur.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, letupan kecil itu membabitkan bateri kenderaan jenis Proton Saga.
Terdahulu, sebuah video tular di media sosial mendakwa berlaku letupan di KLIA dan tangkapan dibuat oleh sekumpulan polis. – UTUSAN