KUALA LUMPUR: Industri perkayuan negara terus menjadi antara penyumbang utama kepada sektor agrikomoditi Malaysia apabila berjaya mewujudkan kira-kira 180,000 peluang pekerjaan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, angka itu yang menyumbang kepada nilai eksport produk kayu negara berjumlah RM22.9 bilion pada tahun lalu itu menggambarkan potensi besar industri tersebut untuk berkembang di peringkat global.
“Sumbangan industri kayu bukan sahaja daripada segi nilai eksport, malah melibatkan penciptaan peluang pekerjaan dalam rantaian pengeluaran, pemprosesan, pembuatan perabot, logistik dan pemasaran.
“Perkembangan itu membuktikan industri perkayuan kekal sebagai antara penyumbang utama dalam sektor agrikomoditi negara dan berpotensi besar untuk terus berkembang di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi MTIB dan Pelancaran Buku Anatomi & Pengecaman Kayu Malaysia anjuran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) di sini, hari ini.
Industri kayu dan perabot terus mencatatkan pertumbuhan positif apabila nilai eksport produk kayu negara mencecah RM22.9 bilion pada 2024, meningkat sebanyak 4.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Nilai import pula turut mencatat peningkatan 13.2 peratus dengan jumlah keseluruhan RM8.5 bilion, berbanding tahun 2023.
Dalam tempoh 10 tahun lalu, eksport produk kayu negara secara kumulatif telah mencatat nilai RM22 bilion, manakala import berjumlah RM4 bilion, sekali gus membuktikan keupayaan sektor perkayuan Malaysia menembusi pasaran global secara berterusan.
Johari berkata, Malaysia kini mengeksport produk kayu ke lebih 182 negara, dengan pasaran utama terdiri daripada Amerika Syarikat (RM6.5 bilion), China (RM3.4 bilion) dan Jepun (RM2.8 bilion).
“Antara produk utama yang dieksport termasuk perabot, kayu gergaji, papan lapis dan venir,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian melalui MTIB turut memberi tumpuan kepada peningkatan penglibatan syarikat Bumiputera dalam industri.
Setakat November 2024, sebanyak 830 syarikat bumiputera berdaftar, namun hanya 20 daripadanya berjaya menembusi pasaran eksport.
“Kita mahu melihat lebih banyak syarikat Bumiputera menjadi pemain utama global dalam industri perkayuan. bukan sahaja membantu ekonomi, tetapi juga meningkatkan kebanggaan terhadap produk Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Sasaran kita adalah untuk melihat lebih banyak syarikat Bumiputera membawa nama Malaysia ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Mengulas isu tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap produk agrikomoditi seperti kayu, getah dan kelapa sawit, beliau menggesa industri untuk terus fokus kepada pengeluaran produk berkualiti tinggi agar kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Beberapa minggu lalu, saya telah mengadakan beberapa perjumpaan bersama pemain-pemain industri kayu untuk mendengar kesan tarif AS kepada industri.
“Saya menekankan betapa pentingnya untuk memastikan industri kayu Malaysia kekal berdaya saing melalui kualiti produk yang tinggi. Saya juga berkongsi usaha kerajaan untuk melindungi sektor agrikomoditi daripada dasar-dasar yang berpotensi menjejaskan daya saing industri tempatan, katanya.
“Kerajaan juga akan terus berusaha melindungi sektor ini daripada dasar-dasar luar yang boleh menjejaskan daya saing industri tempatan,” katanya.
Johari berkata, penting untuk kementerian melalui MTIB terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pemain industri.
“Ia bagi mendepani pelbagai cabaran semasa termasuk ketidaktentuan pasaran, sekatan ketat terhadap akses perdagangan global, dasar-dasar negara pengimport serta persaingan sengit daripada negara-negara pengeksport produk kayu lain,” katanya.
Pada majlis sama turut menyaksikan pelancaran buku Anatomi & Pengecaman Kayu Malaysia, yang berperanan sebagai panduan penting kepada industri dan institusi pendidikan dalam memahami ciri-ciri kayu serta usaha pemuliharaan sumber hutan secara lestari. – UTUSAN