PETALING JAYA: Produk halal dari Malaysia kini boleh menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk dieksport ke Indonesia tanpa perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) baharu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan Malaysia juga akan mengiktiraf sijil halal Indonesia bagi produk yang akan dieksport ke Malaysia.
“Ini satu pencetus perubahan yang harus kita hargai atas komitmen pemain industri, apatah lagi ia mendapat pengendorsan daripada Menteri Agama Indonesia dan apabila saya mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia, Prabowo Subianto selama kira-kira sejam 45 minit di Istana Merdeka, Jakarta Pusat, semalam.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia akan mengiktiraf sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Indonesia untuk produk yang akan dieksport ke negara ini, sekali gus memperkukuh lagi hubungan perdagangan dan kepercayaan dua hala dalam industri halal serantau.
Selain isu halal, kedua-dua pemimpin juga membincangkan isu berkaitan nelayan yang sering timbul di kawasan perairan antara Malaysia dan Indonesia.
Ahmad Zahid berkata, beliau dan Prabowo bersetuju untuk memberi amaran terlebih dahulu kepada mana-mana nelayan yang didapati melanggar sempadan maritim kedua-dua negara.
Keputusan itu berlandaskan memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani pada tahun 2012.
“Indonesia bersetuju agar agensi penguat kuasa kedua-dua negara untuk memberikan amaran dan mengarahkan bot nelayan supaya kembali ke perairan masing-masing jika berlaku pencerobohan, tanpa melakukan penangkapan,” katanya.
Dalam bidang pendidikan, kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh kerjasama dan menekankan kepentingan promosi pendidikan tinggi dalam bidang teknikal, kejuruteraan dan profesional di Indonesia bagi menarik lebih ramai pelajar negara itu melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia.
Menyentuh mengenai situasi di Gaza, Ahmad Zahid berkata, beliau dan Prabowo sepakat menyokong pelaksanaan gencatan senjata yang kekal serta mempercepatkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak itu.
“Kita berkongsi pandangan bahawa usaha untuk membawa keamanan dan bantuan kemanusiaan ke Gaza harus dipercepat dan digembleng secara bersepadu oleh semua negara Islam,” katanya. – UTUSAN