Individu ada kaitan dengan dalang penipuan MBI dikenal pasti

Individu ada kaitan dengan dalang penipuan MBI dikenal pasti

PEMERIKSAAN polis ke atas rumah seorang suspek yang dipercayai terlibat dengan penipuan pelaburan 'Skim Ponzi'.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti beberapa individu dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas skim pelaburan MBI International Group (MBI) yang terlibat skim penipuan pelaburan ‘skim ponzi’.

Kesemua individu berkenaan dikenal pasti hasil siasatan lanjut polis terhadap lapan individu termasuk empat bergelar Datuk menerusi Op Northern Star.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua individu berkenaan dikenal pasti selepas PDRM menemukan bukti baharu dalam siasatan yang dijalankan.

Beliau tidak menolak kemungkinan kesemua individu itu masih berada di negara ini memandangkan ada di antara mereka menjalankan pelbagai perniagaan di sini.

“Sitaan pembekuan aset bernilai RM3.17 bilion yang dilakukan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman pada 20 Mac lalu adalah fasa pertama siasatan.

“Kita jangka akan ada lebih ramai lagi yang mempunyai kaitan dengan dalang skim penipuan ini dikesan, selain ada lagi pembekuan dan sitaan harta dibuat dalam fasa kedua siasatan ini,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Razarudin dalam kenyataan memaklumkan kegiatan pelaburan MBI yang berpusat di negara jiran tumpas selepas sitaan dan pembekuan aset bernilai RM3.17 bilion dilakukan PDRM.

Tindakan rentas negara pada 20 Mac lalu itu dilaksanakan hasil maklumat Notis Merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol).

Lapan warga tempatan termasuk seorang wanita yang ditahan berusia 44 hingga 62 tahun.

Antara yang ditahan termasuk dua usahawan dan dua peguam bergelar Datuk menerusi beberapa siri serbuan.

Untuk rekod, MBI diasaskan oleh ahli perniagaan Malaysia, Tedy Teow Wooi Huat.

MBI, pengendali platform saham elektroknik disiasat pelbagai pihak berkuasa kerana didakwa beroperasi tanpa lesen jualan langsung, mempromosikan skim piramid dan pengubahan wang haram.

Pada 21 Julai 2022, polis Thailand menangkap Tedy Teow selepas visanya dibatalkan kerana didakwa mengatur skim piramid, menipu pelabur dan menjalankan urus niaga multi level marketing.

Polis China telah memohon penangkapan Tedy Teow dengan mengeluarkan Notis Merah pada 9 November 2020.

Dia didakwa menipu hingga dua juta orang dengan ramai warga China menjadi mangsa skim penipuannya.

Pada 20 Ogos 2024, Tedy Teow telah diekstradisi ke China untuk berdepan pertuduhan berkaitan penipuan.

Dia dihantar ke negara berkenaan dari Penjara Tahanan Bangkok dengan menaiki pesawat bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya