JIKA saya meletakkan filem ini di tangan budak lelaki bernama Puek sebagai penggerak cerita utama, saya akan mempunyai banyak persoalan dan kekeliruan. Namun setelah melakukan perenungan, saya menyimpulkan filem Thailand yang ditulis dan diarahkan Putthipong Naktong dengan bantuan Rattanapong Naktong, bukanlah tentang Puek. Tapi sebuah sindiran besar kepada pengurusan insitusi penjara di Thailand.
Filem In Youth We Trust (IYWT) menceritakan seorang lelaki (yang sepatutnya remaja jika merujuk definisi pemuda Thailand berumur 15-24 tahun) dihumban ke dalam penjara setelah membunuh seorang lelaki yang menghina ibunya. Dalam penjara, dia dipukul, dipijak setiap hari selain tidur di dalam ruang sempit beramai-ramai.
Banyak perkara yang sangat tidak menyenangkan tentang filem ini dan ia berasal daripada sistem, peraturan, termasuklah anggota yang menguruskan sistem penjara di Thailand. IYWT membuat saya menyemak laporan Hak Asasi Manusia khususnya berkaitan sistem pengurusan banduan di negara itu.
Menurut laporan pada 2023, Thailand sudah beberapa kali melanggar peraturan minimum piawaian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang sepatutnya menyediakan akses terhadap pemeriksaan kesihatan serta makanan mencukupi.
Jika anda menonton IYWT, banduan di sana bukan hanya boleh bergaduh, berbunuhan, malah ada yang tidak dapat makanan mencukupi, diliwat banduan lain dan warden seolah-olah menutup mata ketika ia terjadi.
Bukan itu sahaja, masing-masing akan tidur berhimpit-himpit dalam ruang sempit sekali gus membenarkan laporan Country Reports on Human Rights Practices: Thailand 2023
menyatakan jumlah banduan selalu melebihi daripada kapasiti yang dihadkan iaitu 275,000 berbanding 220,000. Malah pusat tahanan di beberapa kawasan selatan juga dikabarkan lebih teruk merujuk kepada temu ramah badan bukan kerajaan kepada lebih 20 bekas banduan negara itu.
In Youth We Trust menunjukkan kepada penonton bahawa penjara di Thailand sama sekali tidak bermaksud untuk memulihkan, menyedarkan pesalah agar mereka boleh kembali berfungsi dalam masyarakat. Tapi permulaan membuka lebih banyak pintu neraka yang tidak semua boleh hidup di dalamnya.
Berbalik kepada naratif filem ini, saya sebenarnya sangat kekok apabila barisan pelakon dipilih dalam kalangan mereka yang berusia hujung 20-an bahkan ada yang sudah memasuki 40-an. Mereka tidaklah remaja, seperti tajuk filem ini.
Okay, mungkin yang berusia 40 tahun itu dihukum penjara selama 10 tahun ketika melakukan jenayah di usia awal 20-an. Tapi mengapa Puek, tidak dibintangi oleh remaja yang lebih muda? Seorang berwajah innocent, baru hendak mengenal dewasa tiba-tiba hidupnya hancur setelah memasuki penjara?
Ada banyak babak genting dalam filem ini, tapi entah mengapa yang sudah nazak, hingga yang sudah lunyai dibelasah boleh saja berbual dalam nada suara seperti baik-baik sahaja.
Emosi yang dilontarkan para pelakon tidak sampai kepada saya kecuali yang memegang watak pondan. Saya hanya berterima kasih menonton In Youth We Trust kerana membuka indera saya betapa bobroknya sistem penjara Thailand. Selain itu, biasa-biasa saja kerana tiada falsafah yang mahu dicerna. -UTUSAN