GOMBAK: Hutang Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) akan meningkat sekiranya kerajaan mengambil keputusan meningkatkan kadar pembiayaan sedia ada.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah meneliti keperluan untuk meningkatkan pembiayaan PTPTN dan langkah tersebut akan meningkatkan jumlah hutang yang terkumpul agensi itu.
“Insya-Allah, kita cuba menilai semula (kadar pembiayaan) PTPTN ini. Bagaimanapun, hutang terkumpul semasa PTPTN ketika ini berjumlah hampir RM40 bilion dan penilaian semula pembayaran boleh mendorong (jumlahnya naik) kepada RM50 bilion.
“Bagaimanapun, kita akan terus membantu pelajar berdasarkan keperluan mereka,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian dalam program ‘Meet Anwar@IIUM: A Special Homecoming’ iaitu sesi dialog terbuka antara Perdana Menteri dan warga kampus, khususnya pelajar universiti, yang dihadiri hampir 3,000 kakitangan dan pelajar universiti tersebut.
Yang hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar.
Sementara itu, Anwar berkata, aspek pendidikan bukan sahaja perlu memupuk kecerdasan intelek tetapi juga nilai-nilai seperti kebebasan, keamanan dan perpaduan.
“Cabaran sebenar buat kerajaan perpaduan kini adalah memastikan pelajar bukan sahaja dibekalkan dengan maklumat dan ilmu tetapi juga mampu membezakan antara yang benar dan yang salah.
“Apabila saya bercakap mengenai ilmu pengetahuan, sama ada dalam bidang ekonomi atau politik, kepada semua bakal ahli sains politik dalam teknologi, dalam sains, nilai asas seperti kebebasan, keadilan, maruah insan mesti ada dan semuanya berteraskan nilai,” katanya. – UTUSAN