PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) meramalkan cuaca buruk bakal melanda kawasan seluruh Lembah Klang hari ini.
Menurut Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip, cuaca dijangka terus lembap di mana ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang berlaku terutamanya pada sebelah petang hingga awal malam.
“Namun begitu, hujan boleh juga berlaku pada waktu lain apabila tiupan angin berubah arah.
“MET Malaysia hanya akan mengeluarkan Amaran Ribut Petir yang berkuatkuasa bagi tempoh beberapa jam sehingga enam jam ke hadapan sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Tambahnya, terdapat risiko banjir kilat terutama di kawasan bandar berikutan hujan yang turun adalah berintensiti lebat dalam tempoh singkat yang kurang daripada 6 jam.
Orang awam terutama di kawasan yang mudah berlaku banjir kilat diminta lebih cakna dengan keadaan cuaca semasa.
Dapatkan maklumat terkini dari MET Malaysia dan sentiasa waspada apabila nampak tanda-tanda akan berlaku ribut petir dan hujan lebat.
Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada juga dengan risiko pokok tumbang, tanah runtuh, sambaran kilat dan kerosakan struktur tidak kukuh yang boleh berlaku semasa ribut petir. – UTUSAN