Hujan lebat dan ribut petir dijangka berterusan di beberapa negeri

Hujan lebat dan ribut petir dijangka berterusan di beberapa negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan cuaca lembap bakal berterusan di beberapa kawasan di seluruh negara hari ini, susulan angin bertiup lemah dan menumpu meningkatkan potensi pembentukan awan hujan.

Menurut kenyataan MetMalaysia, corak angin semasa menunjukkan tiupan angin dari arah barat dengan kelajuan antara 10 hingga 20 kilometer sejam di bahagian tengah dan selatan Semenanjung, manakala di kawasan pantai timur dan utara Semenanjung sekali gus mendorong keadaan itu berlaku.

“Di Malaysia Timur, angin bertiup dari arah barat di selatan Sarawak dan dari arah timur di Sabah, masing-masing dengan kelajuan sekitar 10 kilometer sejam. Keadaan ini turut menyaksikan angin menumpu dan melemah di bahagian tengah utara Sarawak serta barat Sabah,” katanya.

Fenomena ini menjadikan kawasan yang terlibat berpotensi mengalami peningkatan pembentukan awan, sekali gus menyebabkan keadaan cuaca lembap sepanjang hari.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang amaran hujan berterusan, angin kencang atau laut bergelora dikeluarkan.

MetMalaysia turut melaporkan, berdasarkan data imej radar, hujan beserta ribut petir sedang berlaku di kawasan pantai negeri Terengganu dan Kelantan, serta kawasan barat Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Keadaan ini dijangka berlarutan sekurang-kurangnya sehingga lewat pagi. Selain itu, cuaca mendung dilaporkan di kebanyakan kawasan di Selangor dan Johor, manakala hujan renyai masih berlaku di sekitar Lembah Klang namun dijangka reda tidak lama lagi,” katanya.

Bagi sebelah petang, hujan lebat berserta ribut petir dijangka lebih tertumpu di utara Semenanjung termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang serta bahagian timur dan selatan Johor.

“Cuaca hujan berskala lebih ringan turut berpotensi berlaku di selatan Perak, pedalaman Negeri Sembilan dan juga Selangor,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, cuaca di Sabah dan Sarawak dilaporkan baik tanpa hujan pada awal pagi, namun hujan lebat berserta ribut petir dijangka berlaku di bahagian barat dan selatan Sabah, serta di selatan, pedalaman dan utara Sarawak menjelang petang.

“Keadaan ini dijangka berterusan hingga ke malam, terutamanya di bahagian tengah dan utara Sarawak serta di barat Sabah,” jelasnya.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap risiko hujan lebat dan ribut petir yang boleh menyebabkan banjir kilat serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.

Untuk maklumat cuaca terkini, orang awam boleh mengikuti saluran rasmi MetMalaysia di Facebook, Instagram serta YouTube.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN