PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan cuaca buruk bakal melanda seluruh kawasan Lembah Klang pada malam ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan berkata, cuaca itu diramal akan berlaku di kawasan Selangor iaitu daerah Gombak, Sabak Bernam, Hulu Langat, Klang dan Petaling.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta boleh juga memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat lanjut. – UTUSAN