PETALING JAYA: Hubungan Malaysia dan Indonesia seharusnya tidak tertumpu kepada kerjasama antara kerajaan serta sektor perniagaan semata-mata, sebaliknya perlu lebih fokus kepada pengukuhan hubungan rakyat dengan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hubungan yang mesra antara rakyat kedua-dua negara mampu memberikan manfaat ekonomi dan perdagangan, serta turut menyumbang kepada ‘dividen politik’ yang penting kepada kestabilan dan pembangunan serantau.
“Di samping kita mempertahankan rasa kebersamaan antara Malaysia dengan Indonesia, kita jangan hanya mengharapkan hubungan yang baik antara pemimpin dan nilai-nilai sentimental.
“Justeru, hubungan ini bukan hanya kerajaan dengan kerajaan dan perniagaan dengan perniagaan, tetapi lebih kepada hubungan rakyat dengan rakyat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Bersama Komuniti Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan, semalam.
Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik.
Mengulas isu tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap produk dari rantau ini, Ahmad Zahid menekankan peranan penting Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam merangsang kerjasama serantau untuk menangani cabaran perdagangan global secara kolektif.
“Malaysia akan memanfaatkan kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN untuk mendorong penyatuan dan tindakan bersama dalam kalangan negara anggota bagi berdepan isu seperti tarif dan ketidaktentuan pasaran global,” katanya.
Menurut beliau, lawatan tersebut merupakan langkah penting untuk memperkukuh komitmen antara Malaysia dan Indonesia ke arah pertumbuhan dan kemakmuran bersama.
“Sepanjang lawatan ini, saya akan mengadakan perbincangan dengan para pemimpin Indonesia bagi meneroka peluang baharu dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelancongan, pertukaran budaya, industri halal, pengurusan bencana dan pembangunan luar bandar.
“Saya yakin kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara akan membawa manfaat besar kepada rakyat, sekali gus mencerminkan usaha kita mengukuhkan pengaruh kolektif ASEAN di peringkat global,” katanya.
Majlis malam tadi turut menghimpunkan rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja dan belajar di Indonesia, memberikan peluang kepada mereka untuk berinteraksi secara langsung dengan Ahmad Zahid dalam suasana mesra dan penuh semangat kekeluargaan.
Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin serta Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN, Datin Sarah Al Bakri Devadason. – UTUSAN