BACHOK: Pelaksanaan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas China boleh menjejaskan hubungan dagangan dan pelaburan Malaysia dengan negara berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana Malaysia adalah sebuah negara eksport dan dagang.
“Apabila AS menetapkan tarif tinggi kepada China sudah tentu kita juga terkesan. Nasib baik AS tangguhkan tarif kepada beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia buat beberapa waktu.
“Tetapi, apabila tarif itu dikenakan kepada China, ini bermakna hubungan dagangan dan pelaburan kita dengan negara tersebut terjejas,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri di Pantai Irama di sini, hari ini.
Anwar berkata, isu tersebut menjadi salah satu topik perbincangan utama semasa lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia dalam beberapa hari lagi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Presiden AS, Donald Trump melancarkan perang perdagangan terbesar dalam sejarah dengan dasar baharu tarif 10 hingga 50 peratus ke atas barangan dari 60 negara, termasuk Malaysia berkuat kuasa bulan ini.
Bagaimanapun, China mengumumkan tarikh timbal balik 84 peratus ke atas import barangan AS setara tarif tambahan dikuatkuasakan Trump dalam senario yang menyaksikan perang tarif antara dua ekonomi terbesar dunia itu bertambah sengit. – UTUSAN