Hormati Jalur Gemilang, elak mainan sentimen

Hormati Jalur Gemilang, elak mainan sentimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menzahirkan sokongan penuh terhadap langkah kerajaan menyiasat insiden penerbitan imej Jalur Gemilang tanpa bulan sabit oleh sebuah akhbar arus perdana, sambil mengingatkan semua pihak agar tidak mempermainkan simbol kebangsaan demi kepentingan tertentu.

Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, tindakan terhadap mana-mana penerbitan mesti dilakukan dengan berpandukan undang-undang sedia ada bagi memastikan keadilan ditegakkan tanpa dipengaruhi oleh sebarang unsur perkauman atau sentimen peribadi.

“Kita harus menangani perkara ini dengan teliti dan berpandukan undang-undang. Siasatan mesti dijalankan secara menyeluruh dan adil, tanpa dipengaruhi sentimen peribadi atau unsur perkauman.

“Tindakan memperlekehkan Jalur Gemilang sebagai simbol rasmi negara boleh dianggap sebagai cubaan mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Saleeh turut mengingatkan bahawa sebarang kesalahan dan pelanggaran berkaitan penerbitan bercetak boleh disiasat di bawah Akta 414 iaitu Akta Lambang(Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Akta 301, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Tambah Saleeh, Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain bercorak, sebaliknya membawa nilai dan identiti yang menyatukan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Dalam pada itu, PENA menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan mewajibkan pemakaian lencana Jalur Gemilang kepada pelajar sekolah sebagai langkah menyemai semangat patriotik dalam generasi muda.

“Langkah ini dilihat sebagai pendekatan jangka pendek yang baik untuk menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan pelajar serta masyarakat umum. Namun,usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi menyedarkan rakyat tentang kepentingan mempertahankanprinsip dalam Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.

Bagaimanapun, Saleeh meluahkan kebimbangan terhadap pengabaian prinsip Rukun Negara yang kini semakin dilupakan.

“Bukan sahajatidak dilafazkan dalam majlis rasmi, malah penghayatannya juga kini semakin menipis.

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tidak dihormati, dan ada pihak yang berani menghina pemimpin negara serta institusi Raja-Raja Melayu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya