Henti guna undang-undang pencatutan terhadap klinik swasta - NGO perubatan

Henti guna undang-undang pencatutan terhadap klinik swasta – NGO perubatan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa untuk berhenti menggunakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) terhadap pengamal perubatan dan fasiliti kesihatan swasta.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam kenyataan bersama badan bukan kerajaan (NGO) perubatan lain berkata, KKM perlu memastikan semua dasar berkaitan penjagaan kesihatan kekal di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dengan menggunakan peruntukan sedia ada.

Katanya, dasar baharu KKM dengan menggunakan Akta 723 berkaitan ketelusan harga ubat di klinik dan hospital swasta telah meletakkan sektor kesihatan swasta di bawah dua akta berbeza adalah tidak boleh diterima dan tidak munasabah.

“Jika perlu, peraturan baharu boleh diperkenalkan melalui kuasa yang diberikan kepada menteri di bawah Seksyen 107 Akta 586 yang mana sebarang perubahan peraturan harus dibuat melalui libat urus dengan profesional perubatan.

“Ini bagi memastikan dasar dibuat selaras dengan realiti penyampaian penjagaan kesihatan swasta,” menurut kenyataan MMA bersama beberapa persatuan perubatan yang lain.

Kenyataan itu turut mendapat sokongan daripada Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia (MPCAM), Akademi Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (AFPM) dan Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM).

Selain itu, Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Persatuan Kemajuan Perubatan Fungsian dan Antara Disiplin Malaysia (MAAFIM), Persatuan Pengamal Swasta Sabah (APPS) dan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak (SMPPS).

Sebelum ini, KKM mengumumkan hospital dan klinik swasta akan memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti masing-masing mulai 1 Mei depan, selaras dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan.

Namun, MMA menegaskan bahawa, pengamal perubatan swasta tidak membantah dasar ketelusan harga sebaliknya meminta pelaksanaannya dilakukan secara adil dan praktikal.

Menurutnya, persepsi bahawa klinik dan fasiliti swasta membantah pelaksanaan ketelusan harga adalah salah dan mengelirukan.

“Pesakit sentiasa mempunyai hak untuk mengetahui harga yang dikenakan bagi ubat-ubatan dan boleh mendapatkannya di tempat lain jika merasakan harga dikenakan di klinik terlalu tinggi.

“Hak-hak ini sudah termaktub dalam Akta Fasiliti dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586). Kemudahan penjagaan kesihatan swasta bukanlah perniagaan runcit dan tidak seharusnya dikawal di bawah mana-mana akta bukan perubatan atau oleh mana-mana pihak berkuasa selain KKM,” katanya.

MMA berkata, penggunaan Akta 723 itu juga tidak dilaksanakan secara seragam seperti sektor-sektor lain yang sudah diletakkan di bawah akta berkenaan dan ini adalah suatu bentuk penyalahgunaan kuasa serta beban yang tidak wajar.

“Selain itu, cara ketelusan harga dilaksanakan juga mestilah wajar dan memberi manfaat kepada pesakit dengan tujuan yang dimaksudkan.

“Namun, meminta butiran yang melampaui skop ini adalah suatu bentuk penyalahgunaan kuasa dan memberi beban tidak wajar kepada doktor yang berisiko menghadapi tindakan undang-undang jika gagal mematuhi.

“Ini kerana sebarang penguatkuasaan terhadap pelanggaran mana-mana dasar yang dirancang mestilah wajar, bukan satu beban dan ancaman terhadap operasi klinik yang menjadi tulang belakang sektor penjagaan kesihatan primer negara,” katanya.

Jelasnya MMA lagi, Menteri Kesihatan mempunyai kuasa untuk memperkenalkan peraturan baru di bawah Seksyen 107 Akta 586 jika perlu untuk melaksanakan dasar baru bagi mempertingkatkan hak pesakit.

“Justeru Akta 723 (undang-undang pencatutan) adalah tidak sesuai dan relevan untuk diterapkan dalam sektor penjagaan kesihatan kerana akta khusus yang sudah ada boleh digunakan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya