KUALA LUMPUR: Memulakan kerjaya sebagai pensyarah sejak tahun lalu, penyanyi, Farisha Iris, berhati-hati memuat naik kandungan melibatkan pelajar dan universiti di media sosial.
Jelas Farisha yang merupakan tenaga pengajar subjek Komunikasi Massa di sebuah universiti swasta, dia akan memastikan video yang dimuat naik bersifat umum demi mengelak terjadinya sebarang kontroversi.
“Kalau mahu kongsi apa-apa kandungan di media sosial pun saya fikir banyak kali lebih-lebih lagi jika melibatkan universiti. Takut tersilap kata.
“Jadi saya banyak cerita secara umum sahaja. Universiti tak ada bagi syarat apa-apa, atau halang saya muat naik sebarang kandungan. Cuma saya sahajalah ambil langkah berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bukit Bintang, baru-baru ini.
Tambah penyanyi Tak Malu itu lagi, kebanyakan pelajarnya mengenalinya bukan sebagai penyanyi, tetapi pempengaruh di aplikasi TikTok.
“Pelajar saya semuanya generasi muda, lagipula zaman saya bergelar penyanyi zaman Big Stage dulu sudah lama berlalu. Orang sudah lupa.
“Mereka kenal saya pun sebab video TikTok lalu ‘FYP’ mereka. Saya malu sebenarnya bila mereka ikut media sosial saya.
“Kadang mereka usik saya dalam kelas, minta saya nyanyi. Tapi saya balas semula dan kata ‘kalau mahu saya nyanyi bayaran harga lain’,” katanya berseloroh.
Bercerita mengenai cabaran sepanjang bergelar pensyarah, Farisha rupanya tidak memiliki masalah untuk mengajar memandangkan menjadi penyanyi membuatkan dirinya terbiasa bertutur di hadapan khalayak.
“Saya tiada masalah untuk mengajar. Cuma subjek yang saya ajar itu sudah lama saya tinggalkan, zaman diploma. Jadi saya kena lakukan ulangkaji.
“Apa yang saya boleh katakan, terjun ke bidang pendidikan lebih tenang sebab kalau kerja separuh masa kita nak kejar dan jual diri betul-betul,” tambahnya.
Terdahulu, Farisha berkongsi dirinya sedang melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang komunikasi membuatkan dirinya menangguhkan hasrat ingin berkahwin buat sementara waktu. – UTUSAN