Hasrat Siti Nurhaliza yang belum tercapai

Hasrat Siti Nurhaliza yang belum tercapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIGA dekad pembabitan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dalam dunia seni tanah air diwarnai pelbagai pencapaian dan kejayaan. 

Kecemerlangan demi kecemerlangan diraih. Jualan album platinum, konsert mega dalam dan luar negara, kerjasama dengan ramai komposer, penulis lirik dan penyanyi. Segalanya sudah.

Hendak dikata berlakon, pun sudah. Apa lagi yang belum dicapai penyanyi kesayangan masyarakat Malaysia ini?

Ibu kepada dua cahaya mata, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa ini sentiasa memperbaharui impiannya. Saban tahun, ada sahaja matlamat baharu yang ingin pemilik suara emas ini genggam. 

Siti berkongsi hasrat. Biarlah kali ini katanya, kalau berpeluang, adanya jalinan kerjasama dengan sebuah band Indonesia yang buat masa ini paling dirindui masyarakat di negara ini.

“Ada wartawan bertanyakan kepada saya, siapa lagi artis Indonesia yang belum bekerjasama dengan saya?

“Dalam ramai-ramai itu, saya sudah bekerjasama dengan Kris Dayanti,  Cakra Khan dan Judika.  Soal wartawan itu, siapa lagi?

“Yang sekarang ini peminat nantikan kemunculan mereka, saya jawab Sheila On 7. Itu sahaja.

“Kalau berpeluang, kenapa tidak? Sheila On 7 pada saya band yang sangat hebat,” katanya ketika pelancaran lagu tema filem Telaga Suriram, Sesal baru-baru ini.

Ujar Siti, hasrat itu masih menjadi antara impian belum terlaksana.

“Ada peminat salah tafsir, menyangka saya benar-benar akan bekerjasama dengan Sheila On 7. Belum lagi. Kalau diberi peluang, Insha-Allah,” kongsinya.

SESAL

Mengulas mengenai OST Telaga Suriram ini, Siti meluahkan rasa gembira kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu tema filem.

Bahkan beliau teruja apabila kali ini berpeluang menyanyikan lagu untuk sebuah filem seram yang ditunggu ramai peminat filem.

“Bila ditawarkan untuk lagu ini, saya hayati perasaan yang diperlukan untuk menyanyikannya. Ada sesal, dendam dan rintihan. Itu perasaan ibu kehilangan anak.

Saya seorang ibu, mudah untuk saya faham.

“Bagi saya melodinya mudah diterima. Liriknya pun mudah difahami. 

“Alhamdulillah, Allah S.W.T permudahkan. Komposer juga banyak memberi bimbingan ketika proses rakaman. Jadi tidak mengambil masa lama untuk rakaman disiapkan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN