JOHOR BAHRU: Hasrat Mohd. Taufik Ariff Sariff, 37, penghantar makanan yang maut dirempuh BMW dipandu lelaki mabuk di Taman Desa Jaya, di sini awal pagi tadi untuk membantu membina kediaman ibu bapanya tidak kesampaian.
Bapa mangsa, Sariff Ahmad, 53, memberitahu, mangsa merupakan anak sulung daripada lima beradik dan merupakan individu bertanggungjawab.
“Dia selalu menghulurkan duit bagi membantu ahli keluarga. Kami sedang lakukan ‘ubah suai’ di rumah, dia ada cakap mahu kumpul duit untuk bantu tampung belanja diperlukan.
“Saya beritahu dia tidak mengapa, utamakan yang lebih penting dahulu jika ada lebih barulah buat nanti. Rupanya hasrat dia tidak kesampaian, Allah lebih sayang dia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini hari ini.
Sariff memberitahu, dia dan isteri, Rohana Rosli, 54, dimaklumkan berhubung perkara tersebut apabila dihubungi anak kedua mereka ketika sedang nyenyak tidur di kediaman mereka di Kota Tinggi.
“Kali terakhir kami bertemu adalah ketika sambutan Aidilfitri lalu. Itulah kenangan terakhir yang kami ada bersamanya. Kehilangannya amat terasa, tetapi saya kena kuat, jika saya tak kuat isteri saya lagilah,” ujarnya.
Sementara itu, Sariff turut memberitahu jenazah arwah anaknya akan disemadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, Kota Tinggi. – UTUSAN