PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan harga runcit petrol RON97 dan diesel di semenanjung Malaysia masing-masing sebanyak 5 sen bagi tempoh bermula esok hingga 15 April depan.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, berikutan itu, harga runcit petrol RON97 turun kepada RM3.28 seliter dan harga runcit diesel turun kepada RM2.98 seliter seiring dengan penurunan harga pasaran minyak mentah dunia.
Jelasnya, bagi tempoh itu juga, harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter dan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga,” katanya hari ini.
Penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism. – UTUSAN