PETALING JAYA: Harga kawalan benih padi bagi peringkat runcit di Semenanjung turun daripada RM58 kepada RM56 untuk satu beg (20kg) berkuat kuasa esok.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan berkata, bagi peringkat borong pula, harga menurun kepada RM52 berbanding RM54 sebelum ini.
Menurutnya, langkah tersebut dibuat bagi menjaga kebajikan pesawah agar mampu mendapat benih padi berkualiti tinggi pada harga berpatutan serta memastikan ketersediaan bekalan berterusan di pasaran untuk keseimbangan ekosistem industri padi dan beras negara.
“Penyelarasan harga kawalan maksimum ini dilaksanakan melalui sesi libat urus antara pihak kementerian bersama pesawah dan pengeluar setelah mengambil kira pelbagai faktor antaranya kos pengeluaran dan penyelarasan harga lantai belian padi.
“Semua pemborong dan peruncit diarah menyelaras harga benih padi sah di peringkat jualan masing-masing. Pihak yang didapati memanipulasi bekalan dan harga seperti enggan menjual, menyorok bekalan dan boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” katanya.
Sebelum ini Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menggesa kementerian mengeluarkan arahan untuk menurunkan harga benih padi bagi musim 1/2025.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, ia berikutan harga kawalan benih padi di pintu kilang pada ketika ini masih RM58 satu beg (20 kilogram) seperti ditetapkan pada Mac 2024, iaitu ketika harga padi semasa yang ditawarkan kilang mencapai hingga RM1,800 satu tan. – UTUSAN